KUCHING: Persatuan Tang Soo Do Sarawak Samarahan baru-baru ini berjaya menganjurkan Peperiksaan Kenaikan Gred dan Dan bagi pelajar pelbagai peringkat di ibu pejabat persatuan berkenaan.
Seramai 60 pelajar menyertai peperiksaan tersebut yang merupakan sesi kenaikan gred ketiga anjuran persatuan bagi tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 20 calon menduduki peperiksaan tali pinggang hitam manakala baki 40 peserta menjalani peperiksaan bagi peringkat di bawah tali pinggang hitam termasuk pelbagai kategori warna.
Kesemua peserta yang mengambil bahagian lulus dengan cemerlang dan berjaya dinaikkan ke peringkat Dan seterusnya.
Persatuan Tang Soo Do Sarawak Samarahan lazimnya menganjurkan peperiksaan kenaikan gred dan Dan sebanyak tiga kali setahun.
Peperiksaan ini dibuka kepada orang awam dan ibu bapa digalakkan hadir bagi menyaksikan sendiri proses penilaian tersebut.
Persatuan berkenaan merupakan sebuah organisasi seni mempertahankan diri yang berdedikasi dalam mempromosikan aktiviti sukan sihat serta amalan bela diri.
Melalui latihan Tang Soo Do yang berstruktur, persatuan bertujuan meningkatkan kecergasan fizikal, memupuk disiplin dan nilai moral selain menyemai semangat ketabahan serta pemikiran positif dalam kalangan ahli.
Selain menyediakan pengajaran secara sistematik, Persatuan Tang Soo Do Sarawak Samarahan turut aktif menganjurkan dan menyertai pelbagai pertandingan.
Para pelajar sentiasa digalakkan mengambil bahagian dalam kejohanan di peringkat negeri mahupun kebangsaan bagi meluaskan pengalaman serta membina jati diri sebagai warganegara yang bertanggungjawab.
Pada masa sama, persatuan ini aktif memimpin pelajar lelaki dan perempuan daripada pelbagai peringkat umur untuk menyertai acara persembahan awam bagi berkongsi teknik serta falsafah Tang Soo Do dengan masyarakat.
Persatuan Tang Soo Do Sarawak Samarahan mengalu-alukan penyertaan kanak-kanak dan orang dewasa untuk mempelajari seni ini sebagai satu bentuk senaman yang bermanfaat.
Mereka yang berminat boleh menghubungi Master Kiu Chiong Inn (Dan ke-6) di talian 013-816 9138 atau Master Thum Mu Lanng (Dan ke-6) di talian 016-738 3398.
Sesi latihan diadakan pada setiap Sabtu dan Ahad di beberapa lokasi sekitar Kuching dan Samarahan. Ibu pejabat persatuan terletak di No. 166, Tingkat 2, Pusat Komersial Hui Sing, Lorong Taman Hui Sing 3/2, 93350 Kuching.



