KUCHING: Semua 600 menara Telekomunikasi Luar Bandar Lembaga Multimedia Sarawak (SMART) kini beroperasi dengan perkhidmatan internet Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN), kata Datuk Seri Julaihi Narawi.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi itu berkata, kesemua menara ini dijangka beroperasi sepenuhnya dengan perkhidmatan 4G pada penghujung bulan ini.
“Pencapaian ini menandakan kejayaan besar dalam usaha Kerajaan Sarawak menyokong Kerajaan Persekutuan meningkatkan kesalinghubungan di kawasan luar bandar.
“Ini merupakan satu detik bersejarah yang menandakan hampir berakhirnya sebuah perjalanan yang panjang penuh cabaran dan penuh harapan.
“Ini bukan sekadar penyiapan sebuah projek ini adalah janji yang akhirnya kita tepati” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau turut memberitahu bahawa kesemua 636 menara Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 siap dan beroperasi dengan perkhidmatan 4G.
“Selain itu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga akan meneruskan inisiatif peluasan liputan internet melalui pelaksanaan JENDELA Fasa 2 khususnya di kawasan luar bandar yang dijangka bermula pada suku pertama tahun 2026.
“Inisiatif ini turut dirangka untuk menangani isu kualiti perkhidmatan supaya tahap pengalaman pengguna lebih stabil” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan bahawa pihak MCMC telah menjalankan ujian penilaian kualiti Perkhidmatan Rangkaian (QOS) di kawasan DUN Meradong, Tellian, Simunjan, Kabong, Krian dan Kalaka.
“Susulan daripada penilaian tersebut penyedia perkhidmatan telah diarah untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi meningkatkan prestasi rangkaian dan mutu perkhidmatan mereka.
“Saya berharap dengan pelaksanaan inisiatif JENDELA Fasa 2 akan mengambil kira kawasan yang dibangkitkan dengan pertambahan menara-menara baharu, agar masalah liputan dan prestasi kualiti rangkaian dapat ditangani” katanya.

