ARTIKEL

BAHAS…Anyi ketika membahaskan Belanjawan Negeri 2026 dalam persidangan DUN Sarawak ke-19 hari ini.

6,000 Penduduk Hidup Di Atas Tanah Skim Penempatan Semula (SPS)

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Lebih 50 tahun selepas penubuhan Skim Penempatan Semula (SPS) di bawah Markas Keselamatan Kawasan Rajang (RASCOM), isu pemberian hak milik tanah di tiga penempatan dalam kawasan DUN Ngemah masih memerlukan perhatian segera Kerajaan Sarawak.

ADUN Ngemah, Anyi Jana berkata, tiga SPS yang ditubuhkan pada tahun 1972 itu ialah SPS Nanga Jagau, SPS Nanga Ngungun dan SPS Nanga Tada.

Katanya, skim berkenaan diwujudkan pada era ancaman komunis dengan tujuan memindahkan penduduk ke kawasan yang lebih selamat serta membolehkan kawalan keselamatan dijalankan secara teratur.

‘’Namun selepas lebih lima dekad, penduduk di ketiga-tiga penempatan itu terus berdepan isu berkaitan status tanah tapak rumah panjang mereka yang masih berdaftar sebagai tanah kerajaan.

‘’Situasi itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan komuniti setempat yang ingin memastikan hak pemilikan mereka terjamin,’’ katanya ketika membahaskan Belanjawan Negeri 2026 dalam persidangan DUN Sarawak ke-19, hari ini.

Tambah Anyi, lebih 60 rumah panjang dengan populasi melebihi 6,000 penduduk di ketiga-tiga skim berharap agar Kerajaan Sarawak dapat mengeluarkan surat hak milik bagi tapak rumah panjang masing-masing.

Beliau berkata, hak milik tanah bukan sahaja penting bagi menjamin keselamatan kediaman mereka tetapi juga menjadi asas untuk pembangunan jangka panjang termasuk peluang meningkatkan taraf sosioekonomi di kawasan tersebut.

Selain itu, beliau juga memohon agar Klinik Kesihatan Nanga Ngungun yang ketika ini masih beroperasi tanpa pegawai perubatan dinaiktaraf, memandangkan lokasinya strategik dan meliputi kawasan berpenduduk padat.

‘’Penduduk turut menantikan pelaksanaan projek Dewan Serbaguna SPS Nanga Ngungun yang diumumkan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada lawatan kerja ke kawasan itu pada Julai 2021.

‘’Mereka berharap pembinaan dapat dimulakan segera bagi membolehkan pelbagai program komuniti, mesyuarat dan aktiviti sosial dijalankan dengan lebih teratur,’’ katanya.

Sementara itu, kata Anyi, sebuah kawasan penempatan baharu juga dicadangkan agar diwujudkan memandangkan SPS sedia ada semakin padat setelah penghuni kini memasuki generasi ketiga.

Beliau berkata, ia susulan keadaan penempatan yang sesak menjejaskan kualiti kehidupan penduduk yang telah menetap di kawasan itu sejak tahun 1972.

‘’Pada masa sama, diharapkan agar sistem jalan raya di kawasan SPS dapat distrukturkan semula. Jalan-jalan yang dibina ketika penempatan ditubuhkan lebih 50 tahun lalu tidak lagi sesuai dengan keperluan pembangunan semasa dan memerlukan perancangan baharu yang lebih selamat serta menyeluruh,’’ katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU