SIMUNJAN: Sebanyak 60,000 pokok cili ditanam menggunakan sistem pengairan titis di medium tanah di Kampung Batu Mumong dengan keluasan 0.7 hektar.
Projek ini merupakan inisiatif pertama seumpamanya di Bahagian Samarahan.

Majlis pelancaran projek ini disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, yang menyambut baik penggunaan teknologi moden dalam pertanian.
“Projek ini menunjukkan contoh mengenai penggunaan teknologi moden dalam bidang pertanian.
“Selain itu, projek ini juga diharap akan menjadi model bagi projek pertanian yang lebih mampan di kawasan lain di Bahagian Samarahan dan seterusnya di seluruh negeri,” katanya ketika merasmikan pelancaran projek berkenaan di sini hari ini.
Menurutnya, projek ini juga bertujuan untuk memperkenalkan teknologi pertanian moden dan memberi manfaat kepada komuniti tempatan.
Sementara itu, Pegawai Pertanian Bahagian Samarahan, Hamzah Abu Bakar, berkata projek yang menelan belanja sebanyak RM186,951 ini dibiayai oleh Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) dan dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian Daerah Simunjan.
“Projek ini bukan sahaja memberi peluang kepada petani di Kampung Batu Mumong untuk belajar dan mengaplikasikan teknologi pertanian moden tetapi ia juga diharapkan dapat meningkatkan hasil pertanian dan pendapatan mereka,” katanya ketika memberi taklimat ringkas tentang projek tersebut.
Menurutnya, salah satu ciri menarik dalam projek ini ialah penggunaan sistem solar sebagai sumber tenaga utama untuk menggerakkan sistem pengairan titis.
Jelasnya lagi, dengan menggunakan tenaga solar, projek ini bukan sahaja menjadi lebih mesra alam tetapi juga dapat menjimatkan kos operasi kerana ia tidak bergantung pada elektrik.
“Keputusan untuk menggunakan tenaga solar akan mengurangkan kos operasi jangka panjang selain memberi faedah kepada alam sekitar.
“Ini adalah langkah penting dalam mewujudkan pertanian yang lebih mampan dan berdaya saing,” jelasnya.
Untuk makluman, pengairan titis adalah kaedah pengairan yang menjimatkan air dan baja melalui titisan air perlahan-lahan ke akar pokok.
Titisan ini sama ada melalui permukaan tanah atau terus ke zon akar melalui rangkaian paip, injap, dan tiub.
Hal ini dijalankan dengan air melalui saluran tiub kecil terus ke pangkal tumbuhan.

