6,022 kontak Covid-19 dikenalpasti

KUCHING: Jabatan Kesihatan Sarawak kini telah mengenal pasti seramai 6,022 kontak di bahagian ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata daripada bilangan tersebut, seramai 3,538 orang telah menjalani ujian saringan manakala seramai 2,484 orang masih belum lagi menjalani ujian.

“Oleh kerana amat penting bagi semua kontak disaring dalam memastikan rantaian jangkitan dapat diputuskan dan diharap memberi impak yang positif dalam meratakan lengkung, maka kesemua kontak yang belum lagi menjalani ujian saringan tersebut akan dihubungi dan diminta datang untuk menjalani ujian saringan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Uggah yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menambah pegawai-pegawai dari Jabatan Kesihatan akan menghubungi kontak-kontak yang telah dikenal pasti tersebut mulai 20 April (esok).

“Adalah menjadi harapan agar semua kontak berkaitan memberi kerjasama yang baik untuk menjawab panggilan telefon yang akan dibuat nanti dan mematuhi semua arahan yang diberikan,” katanya.

Sementara, beliau berkata Pasukan Bertindak Pertama mengenai mempercepatkan pendataran Lengkung / Keluk (Gelombang Semasa) telah pun menyediakan pelan tindakan dalam usaha mengurangkan kes positif Covid-19 di Sarawak.

Menurutnya, tindakan pertama yang akan diambil adalah untuk mengenal pasti semua kontak rapat kepada kes positif Covid-19 yang belum disaring agar mereka tampil untuk menjalani ujian saringan dengan kadar segera.

“Pasukan Bertindak ini akan menjalankan aktiviti mengesan dan mengenal pasti semua kontak di Kuching terlebih dahulu, memandangkan bilangan yang terbesar terdapat di bahagian ini,” katanya.