611 premis perniagaan diperiksa di Miri

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) memeriksa kira-kira 611 premis perniagaan bagi penguatkuasaan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19. Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri,
Datuk Lee Kim Shin berkata ia membabitkan pemeriksaan ke atas 28 buah pasar raya, 513 premis makanan, 34 penjaja dan 13 pusat penjaja.
“Sebanyak 19 notis nasihat dikeluarkan dan kebanyakan premis makanan dan minuman mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Kim Shin berkata amaran secara lisan dan nasihat pula diberikan kepada premis yang mengambil ringan pematuhan SOP.
Tambahnya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Miri bersama Jabatan Kesihatan membersihkan premis yang digunakan bagi mengurangkan panik serta memberikan keyakinan kepada masyarakat.
Manakala, bagi peniaga persendirian dinasihati untuk melakukan proses sanitasi kendiri seperti panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Di samping itu, syarikat atau persendirian yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai proses sanitasi kendiri boleh berhubung dengan MBM atau JBPM Miri.
“Orang awam juga dinasihati mengelakkan 3S iaitu Sesak, Sempit dan Sembang Dekat, amalkan 3W – Wash (basuh), Wear (pakai), Warn (amaran) dan membantu usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan krisis kesihatan global ini,” tegasnya.

Suara Sarawak