KUCHING: Seramai 6,246 anak Sarawak kini menikmati pendidikan tinggi percuma menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), manakala lebih separuh penerimanya terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pelajar berkenaan kini mengikuti 64 program pengajian ijazah di bawah skim itu tahun ini.
Katanya, pelajar dari keluarga berpendapatan rendah turut menerima bantuan RM15,000 setahun bagi menampung kos sara hidup sepanjang pengajian.
“Pada 2023, saya berjanji bahawa anak Sarawak akan dapat melanjutkan pengajian secara percuma di universiti milik negeri menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).
“Tahun ini, kira-kira 6,246 anak muda Sarawak sedang mengikuti pengajian ijazah dalam 64 program,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Menurutnya, skim itu turut memberi peluang kepada pelajar berpelbagai latar belakang untuk melanjutkan pengajian tinggi, termasuk mereka yang memiliki Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) daripada sekolah menengah persendirian Cina.
Antara penerima FTES ialah Gloria Dau Aju dari Uma Belor, Belaga, yang mengikuti pengajian Sarjana Muda Pengurusan Teknologi di University of Technology Sarawak.
Turut menerima manfaat ialah Priska Emban Kenedy dari Rumah Uri, Bebuling Atas, Spaoh, yang mengikuti pengajian Sarjana Muda Sains dalam Agroteknologi di i-CATS University College.
Selain itu, Syaza Irwani Adriana Mohd Qushairi turut mengikuti pengajian Sarjana Muda Pengkomputeran di Curtin University.
Abang Johari turut menyebut Terry Lin Zhen Bin, lepasan Pei Min Middle School di Miri, yang memulakan pengajian Sarjana Muda Sains Komputer di Swinburne University of Technology menerusi skim berkenaan.



