KOTA SAMARAHAN: Perbuatan vandalisme ke atas kemudahan utiliti dan telekomunikasi di Sarawak mengakibatkan kerugian mencecah kira-kira RM48.43 juta, susulan 6,328 kes yang direkodkan dari 2023 hingga suku kedua tahun ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (MUTS), Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, jumlah kerugian berkenaan belum termasuk kos pembaikan dan pemulihan kemudahan yang rosak dalam usaha memastikan perkhidmatan dapat beroperasi semula.
Katanya, peruntukan yang terpaksa digunakan untuk membaik pulih kerosakan akibat vandalisme dan kecurian kabel itu sepatutnya dapat dimanfaatkan bagi menyediakan kemudahan lain kepada rakyat.

“Kes berkenaan juga berlaku di Samarahan, semenjak 2023 sehingga suku kedua tahun ini sebanyak 308 kes vandalisme ke atas infrastruktur utiliti dan telekomunikasi direkodkan dengan anggaran kerugian mencecah RM1.54 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Pencegahan Vandalisme Kemudahan Utiliti dan Telekomunikasi Peringkat Bahagian Samarahan di Dewan Jubli, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan, hari ini.
Tambahnya, kerja pembaikan dan penggantian peralatan yang rosak bukan sahaja melibatkan kos yang tinggi, malah mengambil masa yang lama sehingga menyebabkan gangguan perkhidmatan kepada pengguna.
“Pada masa yang sama, reputasi agensi utiliti dan telekomunikasi turut terjejas akibat gangguan perkhidmatan yang berulang, walaupun agensi berkenaan merupakan mangsa vandalisme,” ujarnya.
Dalam pada itu, Julaihi menyeru Kerajaan Persekutuan supaya mengkaji semula Akta Peniaga Sekendhend 1946 bagi memperketat peraturan serta mengenakan hukuman lebih berat ke atas kegiatan berkaitan vandalisme dan kecurian kabel.
Menurutnya, beliau menyedari usaha membanteras kegiatan vandalisme dan kecurian sepenuhnya bukanlah sesuatu yang mudah, terutama apabila hukuman sedia ada dianggap terlalu ringan.





