BETONG: Masyarakat rumah panjang digalak memanfaatkan potensi dan keunikan kawasan masing-masing bagi merancakkan ekonomi tempatan, khususnya melalui pembangunan sektor pelancongan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, Tapak Perkhemahan Nanga Mujau atau lebih dikenali sebagai Nanga Mujau Campsite merupakan antara contoh lokasi yang berpotensi menarik kedatangan pelancong untuk beriadah dan menikmati keindahan alam semula jadi.
Menurutnya, lokasi berkenaan sesuai bagi pengunjung yang ingin berehat dan meluangkan masa jauh daripada kesibukan bandar, dengan suasana persekitaran yang tenang serta keindahan alam semula jadi.

“Pengunjung dapat menikmati kejernihan air sungai yang menyegarkan, sekali gus menjadikan lokasi ini sesuai untuk aktiviti bermandi-manda atau sekadar merendam kaki sambil menikmati ketenangan suasana kampung.
“Kawasan ini turut dikelilingi pelbagai flora dan fauna yang menarik, memberikan peluang kepada pengunjung untuk menikmati keindahan tumbuhan tropika serta mendengar kicauan burung dan bunyi alam yang menenangkan.
“Saya berharap masyarakat rumah panjang dapat memanfaatkan sumber semula jadi dan keunikan di kawasan masing-masing sebagai tarikan pelancongan, termasuk aktiviti berasaskan sungai yang berpotensi menjana pendapatan serta merancakkan ekonomi tempatan,” katanya.
Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar itu berkata demikian ketika berucap pada Program Hari Keluarga Gerempung Tuai Rumah (GTR) Layar di Tapak Perkhemahan Nanga Mujau, Spak.
Jelasnya, kawasan Layar mempunyai potensi pelancongan yang boleh dibangunkan secara terancang bagi menarik lebih ramai pengunjung, khususnya dari luar Betong dan Sarawak.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan program hari keluarga yang menghimpunkan 120 tuai rumah bersama-sama ahli keluarga masing-masing sebagai platform penting untuk memperkukuh hubungan silaturahim, selain mempromosikan potensi pelancongan tempatan di kawasan Layar.
Sementara itu, Pengerusi GTR Layar, Tuai rumah Gebriel Spencer Sang berkata, program selama dua hari tersebut bertujuan mengeratkan hubungan dalam kalangan tuai rumah di kawasan Layar.
Menurutnya, program berkenaan turut menjadi wadah untuk berkongsi pengalaman dan maklumat, khususnya berkaitan pentadbiran di peringkat akar umbi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Tuai Rumah Jarit Tadong selaku pengerusi jawatankuasa penganjur serta semua ahli jawatankuasa yang terlibat atas usaha menjayakan program berkenaan, meskipun berdepan perubahan tarikh pelaksanaan.
Pegawai Daerah Betong Laga Kueh, Penasihat GTR Layar Christina Peter dan Tuai rumah Nanga Mujau Isup Iba turut hadir sama.



