ARTIKEL

Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berucap pada Persidangan Penyelidikan Pendidikan dan Inovasi Antarabangsa Keempat.

Penyelidikan pendidikan perlu melangkaui jurnal akademik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penyelidikan pendidikan perlu diterjemahkan kepada penambahbaikan kaedah pengajaran di bilik darjah dan penggubalan dasar yang lebih mantap, bukannya sekadar diterbitkan dalam jurnal akademik.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, dapatan penyelidikan seharusnya membantu guru meningkatkan amalan pengajaran, membimbing institusi dalam mengemas kini program serta menyediakan bukti kukuh kepada penggubal dasar.

“Penyelidikan pendidikan penting untuk menangani cabaran dunia sebenar.

Namun, dapatan penyelidikan tidak seharusnya terhad kepada jurnal akademik semata-mata.

Sebaliknya, penyelidikan itu mesti membawa perubahan yang praktikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Penyelidikan Pendidikan dan Inovasi Antarabangsa Keempat 2026 sebuah hotel di sini, hari ini.

Sagah menegaskan, hubungan lebih erat penyelidik, pendidik, penggubal dasar dan pakar industri perlu diperkukuh bagi merapatkan jurang antara teori dengan keperluan sebenar di tempat kerja.

Katanya, persidangan itu menyediakan platform untuk membina jaringan kerjasama berkenaan serta membangunkan persekitaran pembelajaran yang mempersiapkan pelajar menghadapi pekerjaan sedia ada dan peluang baharu yang bakal muncul.

“Saya berharap perbincangan dan idea yang dikongsi sepanjang persidangan ini tidak berakhir apabila persidangan tamat,” katanya.

Beliau berharap pertukaran idea itu dapat menghasilkan penyelidikan baharu, inovasi dan kerjasama yang mampu meningkatkan pencapaian pelajar serta menyumbang kepada pembangunan pendidikan di Sarawak dan Malaysia.

Usaha berkenaan penting bagi merealisasikan aspirasi Sarawak untuk menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030, yang bergantung pada tenaga kerja berkemahiran, mudah menyesuaikan diri dan inovatif.

“Kita tidak mahu pelajar menjadi pengguna teknologi yang pasif. Sebaliknya, kita mahu mereka menjadi pencipta, inovator dan penyelesai masalah yang aktif,” katanya.

Sagah berkata, penekanan Sarawak dalam pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), inovasi serta kemahiran digital turut merangkumi sokongan inisiatif pembelajaran secara praktikal yang mendedahkan pelajar kepada teknologi gunaan dan memupuk sifat ingin tahu.

Beliau turut menyeru agar guru diberikan peluang dan sokongan yang diperlukan untuk melakukan inovasi, sambil menegaskan bahawa pendidikan perlu mempersiapkan golongan muda untuk menangani cabaran yang mungkin belum kelihatan pada masa ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU