KUCHING: Dua beradik masing-masing dijatuhkan hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana terlibat dalam penipuan dalam urusan promosi permainan judi dalam talian tidak wujud.
Tertuduh berusia 26 dan 22 tahun tersebut masing-masing mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan bersama di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.
Mengikut pertuduhan, mereka terlibat dalam konspirasi jenayah dengan mendorong mangsa menyerahkan harta wang kepada mereka untuk perjudian dalam talian tidak wujud.
Mereka melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Kalien, Padawan, sekitar 12.30 tengah malam, 23 Oktober lepas.
Oleh itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 120 B (2) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 420 Kanun yang Sama.
Sekiranya gagal menjelaskan denda, kedua-dua tertuduh hendaklah dipenjara selama tempoh tiga bulan.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, pengadu merupakan pegawai polis bersama-sama pasukannya membuat tangkapan dan rampasan ke atas dua wanita di sebuah rumah di Taman Kalien.
Kedua-dua tertuduh disyaki menjalankan aktiviti Pusat Panggilan (Calling Center) iaitu tipu dalam urusan promosi permainan judi dalam talian tidak wujud dengan menjanjikan ganjaran yang lumayan.
Aktiviti terbabit menggunakan laman web yang menyasarkan mangsa warganegara Filipina dan China.
Rampasan barang seperti tiga unit telefon pintar dan dua unit komputer riba turut dilakukan.
Hasil siasatan mendapati analisis barang kes yang dirampas menimbulkan wujud kegiatan Hosting Laman Web tipu tawaran perjudian dalam talian yang melibatkan platform menyasarkan warganegara Filipina dan China.
Ekshibit tersebut merupakan set komputer riba yang diperiksa dalam keadaan baik dan boleh dihubung terus ke Internet.

