SARATOK: IPD Saratok telah mengeluarkan sebanyak 64 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam Op Pematuhan Lalu Lintas dan Op Motosikal yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah ini sepanjang 2 Mac 2026 hingga hari ini.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata operasi melibatkan kawasan Bandar Saratok, Roban dan Kabong.
“Sepanjang tempoh operasi tersebut, sebanyak 64 saman telah dikeluarkan melalui borang PDRM 257 selepas pelbagai kesalahan trafik dikesan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata antara kesalahan yang paling banyak dikesan ialah ubah suai kenderaan dengan 25 kes, diikuti tidak mematuhi isyarat lalu lintas sebanyak 18 kes.
Selain itu, tambahnya enam kes melibatkan penunggang motosikal tanpa lesen memandu yang sah, manakala lima kes lagi dikesan kerana gagal memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.
“Operasi itu dijalankan susulan aduan orang awam mengenai gangguan bunyi bising daripada motosikal yang diubah suai, terutamanya melibatkan penunggang dalam kalangan remaja.
“Dalam operasi yang sama, pasukan turut menyita tujuh motosikal di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, operasi penguatkuasaan seperti ini akan terus dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang serta meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya.



