KUCHING: Perlindungan kanak-kanak tidak harus diletakkan di atas bahu kerajaan semata-mata, sebaliknya perlu menjadi tanggungjawab bersama seluruh lapisan masyarakat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menegaskan bahawa isu penderaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak tidak akan dapat ditangani sekiranya masyarakat terus bersikap lepas tangan.
“Anak-anak adalah amanah dan pewaris masa depan kita.
Namun, masih ramai yang menjadi mangsa penderaan, pengabaian dan eksploitasi.
“Ini bukan sekadar angka. Ini ialah kisah sebenar yang menuntut tindakan kita semua,” katanya memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Tambah beliau, penderitaan yang dialami oleh kanak-kanak sering berlaku secara senyap dan tersembunyi di sebalik dinding rumah serta diselubungi rasa takut dan stigma yang menjadikan campur tangan masyarakat amat penting.
Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan sebanyak 685 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak direkodkan di Sarawak sepanjang Januari hingga Jun 2025 termasuk 40 kes di Sri Aman sahaja.
Sejak dilancarkan pada tahun 2024, program KASIH Kanak-Kanak telah melibatkan lebih 128,000 orang peserta daripada 337 buah sekolah di seluruh negara.
Di Sarawak, seramai 5,589 orang peserta dari 25 buah sekolah telah menyertai program tersebut dan kini diperluas ke Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) termasuk di Sri Aman.
Menjelas lanjut, Nancy menyeru agar kanak-kanak yang berasa tidak selamat segera melaporkan kepada individu dewasa yang dipercayai atau menghubungi Talian Kasih 15999.
“Jangan takut untuk meminta tolong.
Tiada siapa yang akan marah.
Ramai yang bersedia membantu.”
“Saya juga berharap agar orang ramai tidak menjadi penonton pasif terhadap penderaan, sebaliknya segera membuat laporan kepada pihak berkuasa, bukan hanya menyebarkannya di media sosial,” ujar beliau.
Program yang bermula pada jam 1.00 petang itu menghimpunkan pelbagai agensi dan komuniti setempat dalam memperkukuh kesedaran serta advokasi terhadap hak dan perlindungan kanak-kanak.




