BINTULU: Kejadian banjir kilat yang berulang di beberapa kawasan di Bintulu mendorong penduduk menggesa Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) menilai semula sistem saliran utama bagi mencari penyelesaian jangka panjang terhadap masalah itu.
Penduduk Taman Clean Bintulu, Joseph Tie berkata, BDA perlu beralih daripada pendekatan pembaikan sementara dan setempat kepada perancangan menyeluruh yang mengambil kira keseluruhan sistem saliran di kawasan bandar berkenaan.
Menurutnya, kejadian banjir berulang bukan sahaja mengganggu kehidupan harian penduduk, malah berisiko menyebabkan kerosakan kediaman dan kehilangan harta benda.
Beliau berkata, penambahbaikan tidak seharusnya tertumpu kepada longkang di kawasan perumahan tertentu, sebaliknya perlu melibatkan saliran utama yang berfungsi menyalurkan air hujan keluar dari kawasan berpenduduk.
Antara aspek yang perlu diberi perhatian ialah keupayaan sistem saliran sedia ada menampung peningkatan aliran air ketika hujan lebat, selain kemungkinan aliran balik air akibat fenomena air pasang.
“Jika saliran utama tidak mampu menampung atau mengalirkan air dengan lancar, kerja memperbesar longkang di kawasan perumahan tidak akan menyelesaikan masalah banjir secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jangkauan Setiausaha Politik: Majlis Taklimat dan Penerangan Inisiatif dan Strategi PCDS 2030 Kerajaan Sarawak N68 Tanjong Batu di sini, Sabtu.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan BDA bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta agensi berkaitan menubuhkan pasukan petugas khas bagi menjalankan penilaian terperinci di kawasan yang kerap dilanda banjir.
Penilaian itu, katanya, perlu mengenal pasti punca sebenar kejadian, termasuk keadaan saliran utama, kapasiti longkang, sistem pelepasan air serta keberkesanan kemudahan saliran dan takungan sedia ada.
Beliau turut mencadangkan pihak berkuasa meneliti keperluan menaik taraf kolam takungan dan menyediakan kemudahan tebatan banjir tambahan bagi meningkatkan keupayaan menampung lebihan air ketika hujan lebat.
Dalam pada itu, penyelenggaraan sistem saliran secara berkala perlu diperkukuh, terutama kawasan berisiko tinggi, bagi memastikan longkang dan saliran utama tidak tersumbat serta berfungsi dengan baik.
Menurutnya, pembangunan pesat Bintulu perlu disokong infrastruktur asas yang seiring dengan pertumbuhan kawasan perbandaran, termasuk sistem saliran yang mampu menghadapi hujan lebat dan perubahan paras air akibat fenomena air pasang.
Beliau turut menekankan kepentingan penglibatan masyarakat menerusi aktiviti pembersihan longkang, kempen kesedaran awam dan pemantauan kawasan berisiko bagi membantu mengurangkan kemungkinan banjir.
Joseph berharap isu itu diberikan perhatian serius melalui kerjasama antara agensi kerajaan dan komuniti setempat supaya penyelesaian yang dirancang bukan sekadar bersifat sementara, malah mampu menjamin keselamatan penduduk serta melindungi harta benda mereka dalam jangka panjang.




