ARTIKEL

Nancy ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Santuni KASIH KPWKM 2026 di Plaza Merdeka, di sini, hari ini.

JKM tunggu perintah mahkamah tentukan penjagaan bayi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penempatan bayi lelaki yang ditemukan tertimbus di dalam tanah berhampiran sebuah rumah sewa di Jalan Airport, Kapit, baru-baru ini masih belum diputuskan sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunggu perintah mahkamah berhubung penjagaannya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bayi berkenaan kini berada dalam keadaan selamat dan dihantar ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan pakar susulan kemungkinan mengalami komplikasi.

Menurutnya, pelindung JKM turut bekerjasama dengan keluarga sebelah ibu bayi itu serta kaunselor bagi memberikan sokongan emosi kepada ahli keluarga yang mungkin mengalami tekanan susulan kejadian berkenaan.

“Setakat ini, kita masih belum menerima perintah mahkamah untuk menentukan individu yang layak dan sesuai menjaga bayi itu, memandangkan keluarga sebelah ibunya masih ada.

“Pada masa yang sama, kita perlu berhati-hati dalam menentukan kepada siapa bayi itu akan diserahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Santuni KASIH KPWKM 2026 di Plaza Merdeka, di sini, hari ini.

Mengulas dakwaan bahawa ibu bayi berkenaan mengalami kemurungan selepas bersalin, Nancy berkata, perkara itu belum dapat dipastikan dan memerlukan penilaian lanjut pihak kesihatan serta kaunselor.

Katanya, sebarang kesimpulan mengenai keadaan ibu bayi itu tidak boleh dibuat selagi siasatan dan penilaian pihak berwajib belum selesai.

“Peranan kaunselor amat penting dalam hal ini, begitu juga pihak kesihatan termasuk doktor dan jururawat yang mengendalikan kes berkenaan.

“Setakat ini, kita juga belum mempunyai maklumat mengenai status suami wanita berkenaan,” katanya.

Nancy berkata, pelindung JKM akan terus bekerjasama dengan keluarga bayi itu bagi mengenal pasti punca kejadian serta menentukan bentuk bantuan yang diperlukan.

Beliau turut menegaskan bahawa sokongan kepada ibu yang berdepan masalah selepas bersalin perlu berdasarkan penilaian pihak kesihatan bagi memastikan keadaan sebenar dikenal pasti.

Dalam pada itu, beliau menggalakkan orang ramai mendapatkan bantuan menerusi kumpulan MamaCare di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), yang menyediakan individu terlatih untuk membantu dari segi penjagaan dan sokongan kesihatan.

Katanya, pengesahan doktor perlu diperoleh terlebih dahulu bagi menentukan sama ada seseorang ibu mengalami kemurungan selepas bersalin sebelum bantuan sewajarnya diberikan.

Untuk rekod, seorang bayi lelaki yang masih bernyawa ditemukan tertimbus di dalam tanah berhampiran sebuah rumah sewa di Jalan Airport, Kapit, pada 27 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintendan Rohana Nanu sebelum ini memaklumkan bayi yang baru dilahirkan itu ditemukan anggota polis selepas mereka terdengar tangisannya ketika menjalankan pencarian di lokasi berkenaan.

Bayi yang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal ketika ditemukan itu dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut, manakala ibunya turut dikenal pasti dan sedang menerima rawatan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

BERITA LAIN

Ba’Kelalan berpotensi jadi destinasi pelancongan unik

KUCHING: Keunikan budaya, kraftangan dan hasil tempatan menjadikan Ba’Kelalan berpotensi muncul sebagai destinasi pelancongan baharu yang menarik di Sarawak. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk

BERITA TERBARU

Ba’Kelalan berpotensi jadi destinasi pelancongan unik

KUCHING: Keunikan budaya, kraftangan dan hasil tempatan menjadikan Ba’Kelalan berpotensi muncul sebagai destinasi pelancongan baharu yang menarik di Sarawak. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk