KUCHING: Sebanyak 69 daripada keseluruhan 85 lokaliti pedalaman di Sarawak yang sebelum ini bergantung kepada Perkhidmatan Doktor Udara (PDU) kini boleh diakses melalui jalan darat atau laluan sungai.
Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, baki 16 lokaliti masih bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan udara untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan.
“Susulan insiden baru-baru ini, PDU telah digantung sementara. Justeru, cadangan menyeluruh kini sedang dirangka oleh Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan keselamatan operasi.
“Termasuk memastikan kesesuaian aset udara serta menjaga kebajikan petugas bagi menjamin keberkesanan perkhidmatan dalam jangka panjang,” katanya dalam ucapan penggulungan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Dr Sim berkata, langkah itu memastikan penduduk di semua lokaliti terlibat terus menikmati akses rawatan kesihatan secara adil, konsisten dan tanpa gangguan, khususnya masyarakat pedalaman yang masih bergantung kepada perkhidmatan udara.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, projek Pusat Kanser Sarawak yang mempunyai kapasiti 310 katil dan dianggarkan menelan kos lebih RM1.5 bilion kini berada pada peringkat perolehan tender di Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.
Menurutnya, Surat Setuju Terima (SST) projek itu dijangka dikeluarkan pada suku pertama 2027, dengan tempoh pelaksanaan selama lima tahun dan sasaran siap pada 2032.
“Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM20 juta pada tahun depan bagi pelaksanaan projek itu yang akan meningkatkan keupayaan negeri menyediakan rawatan kanser khusus dan menyeluruh.
“Pusat ini amat penting kerana kanser merupakan beban penyakit kedua tertinggi di Sarawak selepas penyakit jantung,” katanya.
Dr Sim berkata, Kerajaan Sarawak akan menyumbang RM500 juta dan menyediakan pembiayaan pinjaman RM1 bilion kepada Kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan projek berkenaan.



