SARIKEI : Siapa sangka, usaha gigih anak muda Sarikei menganjurkan perhimpunan kelab motosikal mendapat sambutan luar jangkaan apabila acara itu dihadiri lebih 2,000 mat motor, hari ini.

Malah, acara yang berlangsung sehari di padang Kampung Seberang itu berjaya menarik penyertaan pelbagai kelab motosikal dari seluruh Sarawak termasuk Brunei Darusalam.

Penyelaras program, Mohd Mazrulnizar Materang berkata, program anjuran Ys 15/Rs15/LC Sixth Division Sarikei itu adalah antara perhimpunan motosikal paling awal dianjurkan di Sarikei bagi tahun ini.

“Kita pernah mengadakan acara seumpama ini tahun lalu. Namun sambutan kali ini begitu memeranjatkan. Kami tidak sangka mendapat sokongan padu daripada lebih 70 kelab motosikal seluruh negeri.

“Malah dalam acara kali ini, kita menambah baik atur cara dengan mengetengahkan banyak aktiviti dan penyertaan dari segi pameran dan jualan,” katanya.

Majlis perasmian program disempurnakan Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Kuala Rajang.

Mohd Mazrulnizar berkata, perhimpunan itu dilihat mampu menjalinkan hubungan erat antara ahli kelab motosikal di samping mewujudkan perasaan setiakawan dalam kalangan peminat dan penunggang tempatan.

Selain itu katanya, penganjuran program juga dapat memperkenal dan mempromosikan Sarikei kepada peserta khususnya mereka yang datang dari luar.

“Program kali ini memang menarik dan meriah kerana ramai peserta mengambil bahagian. Ia merupakan kesempatan terbaik kepada kami untuk berkenalan dan berkongsi pengalaman bersama pemilik motosikal dari pelbagai tempat.

“Kami turut memberi peluang niaga kepada usahawan daripada kalangan mat motor menjual peralatan dan aksesori motosikal termasuk makanan dan minuman kepada pengunjung.

“Saya mewakili seluruh jawatankuasa mengucapkan terima kasih atas sokongan padu Datuk Len terhadap program ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, peserta, Awang Nizam Sahari, 20, dari Sibu berkata, dia semenangnya tidak melepaskan peluang untuk menyertai acara berkenaan.

“Dari satu sudut, penganjuran program ini sebenarnya mampu memberi impak positif kepada masyarakat, di samping membantu mengembangkan sosioekonomi terutama dalam kalangan usahawan muda Sarikei,” tambahnya.

Suara Sarawak