SONG: Sebanyak 71 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), kelab serta persatuan di sekitar Song menerima peruntukan Projek Mesra Rakyat (MRP) berjumlah RM500,000 bagi membantu keperluan komuniti setempat.
Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, peruntukan itu bertujuan membantu organisasi berkenaan menangani keperluan mendesak serta melaksanakan kerja penambahbaikan kemudahan asas di kawasan masing-masing.
“Antara keperluan yang perlu diberi perhatian termasuk kerja membaiki paip air, bumbung dan kemudahan asas lain yang memerlukan tindakan segera.
“Sehubungan itu, semua penerima diingatkan supaya mengutamakan integriti, amanah dan ketelusan dalam menguruskan peruntukan agar manfaatnya dapat disalurkan sepenuhnya kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Hari Terbuka Klinik Kesihatan Song 2026 bertemakan ‘Kesihatan Milik Bersama, Komuniti Sejahtera’ di sini, semalam.
Dalam pada itu, Nanta menegaskan bahawa penjagaan kesihatan merupakan tanggungjawab bersama yang bermula daripada kesedaran dan komitmen setiap individu.
Masyarakat perlu memahami kepentingan penjagaan kesihatan menerusi pemakanan seimbang, gaya hidup aktif serta pemeriksaan kesihatan secara berkala.
“Sebagai sokongan kepada usaha tersebut, saya mengumumkan peruntukan RM20,000 kepada Klinik Kesihatan Song bagi membantu mempergiat program kesedaran kesihatan dalam kalangan penduduk setempat,” ujarnya.
Beliau berharap kerjasama berterusan antara pihak berkaitan dengan masyarakat dapat memperkukuh tahap kesihatan komuniti, sekali gus meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup penduduk di kawasan Song.

