KUCHING: Sebanyak 74 daripada 143 kes rogol yang dilaporkan di Sarawak bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini melibatkan suspek yang merupakan teman lelaki mangsa, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Hubungan suka sama suka tetap dikategorikan sebagai kes rogol sekiranya mangsa berusia bawah 16 tahun dan kes berkenaan boleh dibawa ke mahkamah jika penjaga atau ibu bapa membuat laporan.
Jelas Fatimah, masih ramai remaja tidak memahami definisi rogol statutori, iaitu kes yang berlaku walaupun kedua-dua pihak bersetuju tetapi mangsa berusia 16 tahun ke bawah.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Sehenti Remaja Hamil (OSTPC) di Bilik Mesyuarat Utama, Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Selain melibatkan teman lelaki katanya, statistik yang diperolehi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 35 kes membabitkan suspek yang dikenal pasti oleh mangsa, diikuti pakcik (8), bapa kandung (6), suspek tidak dikenali (5), abang kandung (5), bapa tiri (4), datuk (2), abang ipar (2), bapa angkat (1) dan adik kandung (1).
Fatimah menyifatkan situasi itu menyedihkan, kerana kebanyakan suspek adalah individu terdekat dan dipercayai mangsa.
“Justeru, pendidikan mengenai sempadan sentuhan selamat dan tidak selamat perlu diperkukuh dalam kalangan kanak-kanak memandangkan jenayah seksual boleh berlaku dalam lingkungan keluarga sendiri.
“Ini maklumat yang sangat penting supaya anak-anak kita, lelaki dan perempuan, dapat melindungi diri. Mereka perlu memahami sempadan yang jelas bahawa pakcik, abang, bapa kandung atau bapa tiri sekali pun tidak boleh melakukan sebarang sentuhan yang tidak sepatutnya,” katanya.
Mengenai faktor ekonomi, tekanan hidup dan persekitaran keluarga berpendapatan rendah turut menyumbang kepada risiko berlaku jenayah rogol.
Sepanjang tempoh Januari hingga Oktober tahun ini kata Fatimah, seramai 54 mangsa adalah daripada kumpulan B40 diikuti M40 (19), manakala 53 suspek merupakan B40 dan 33 lagi daripada M40, menjadikan keseluruhan 73 mangsa dan 86 suspek.
Dalam pada itu, katanya sebanyak 17 kes rogol direkodkan berpunca daripada perkenalan melalui media sosial meningkat berbanding 10 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.
“Kes ini melibatkan platform seperti Bigo Live (1), TikTok (5), NCPM Link (1), Leo Match and Meet New Friend (1), WhatsApp (1), Omi (1), Facebook (1), WeChat (1) dan Telegram (4),” ujarnya.
Fatimah berkata kementeriannya bukan sahaja menumpukan usaha pencegahan tetapi memperkukuh sistem sokongan melalui pendekatan antara agensi bagi membantu mangsa memulakan kehidupan baharu.
“Semua maklumat ini penting untuk kita merangka program, bukan sekadar mengurangkan kes tetapi membantu mangsa membina semula hidup mereka (mangsa),” ujarnya.



