KUCHING: Tanpa sebarang kawasan panas dikenal pasti setakat ini, Polis Sarawak tetap memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan dengan merancang menugaskan 7,500 pegawai dan anggota bagi menghadapi PRU Sarawak ke-13.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Saifullizan Ishak berkata, hampir 5,000 pegawai dan anggota turut akan digerakkan pada hari penamaan calon bagi memastikan keselamatan, ketenteraman awam serta kelancaran proses pilihan raya di seluruh negeri.
Menurutnya, penilaian keselamatan yang dijalankan setakat ini belum mengenal pasti sebarang kawasan panas, namun pemantauan dan persediaan awal tetap diberikan keutamaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Sarawak mempunyai suasana pilihan raya yang tersendiri dan kami berharap keadaan aman serta tertib seperti yang disaksikan pada pilihan raya terdahulu dapat dikekalkan sepanjang proses demokrasi berkenaan.
“Setakat ini, tiada kawasan panas yang dikenal pasti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak bagi November 2026 di Padang Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.
Saifullizan berkata, pihaknya berpuas hati dengan tahap persiapan yang dilaksanakan termasuk mesyuarat penyelarasan dan sesi penerangan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta agensi lain yang terlibat dalam pengurusan pilihan raya.
Menurutnya, sesi taklimat bersama agensi berkaitan turut diadakan semalam dengan penglibatan semua Ketua Polis Daerah bagi memastikan penyelarasan operasi dapat dilaksanakan secara menyeluruh di peringkat kontinjen.
“Dalam aspek penugasan, PDRM Sarawak turut menerima bantuan anggota daripada Bukit Aman dan Kontinjen Sabah bagi memperkukuh keupayaan pasukan sepanjang pilihan raya, dengan jumlah keseluruhan bantuan yang dinyatakan seramai 254 orang,” ujarnya.
Mengulas persediaan logistik, Saifullizan berkata, pihaknya akan memanfaatkan aset sedia ada, selain menggunakan peruntukan yang disediakan bagi menyewa aset tambahan termasuk kenderaan, bot, bas dan kemudahan pengangkutan lain mengikut keperluan operasi.
Katanya, dua helikopter PDRM yang berada di Sarawak ketika ini dianggap mencukupi untuk menyokong penugasan PRN, namun penambahan bot dan kenderaan masih diperlukan bagi memastikan kelancaran pergerakan anggota serta penyelarasan tugas di lapangan.
Beliau berkata, persiapan keselamatan turut merangkumi penelitian awal terhadap kawasan yang berpotensi berlaku ketegangan, isu sensitif, cabaran logistik, keperluan penugasan anggota serta tindakan penguatkuasaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang pilihan raya.
“Sehubungan itu, semua pegawai dan anggota yang terlibat perlu memahami undang-undang pilihan raya, prosedur operasi standard (SOP), pengurusan keselamatan pusat mengundi serta tatacara menangani pelanggaran undang-undang, selain menjalani latihan dan taklimat yang mencukupi,” katanya.
Saifullizan menegaskan bahawa setiap anggota polis bertanggungjawab melaksanakan tugas secara neutral, adil dan profesional tanpa membenarkan kecenderungan politik peribadi memengaruhi tindakan penguatkuasaan atau keputusan yang dibuat sepanjang proses pilihan raya.
“Tanggungjawab polis bukan untuk memenangkan atau mengalahkan mana-mana parti politik. Tanggungjawab kita adalah untuk memastikan proses demokrasi berlangsung dalam keadaan aman, selamat, teratur dan mengikut peruntukan undang-undang,” tegasnya.

