ARTIKEL

BERCAKAP… Saifullizan menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak bagi November 2026 hari ini.

Jenayah komersial Sarawak cecah RM118.685 juta

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Jenayah komersial di Sarawak mengakibatkan kerugian mencecah RM118.685 juta sepanjang 10 bulan pertama tahun ini, manakala jumlah kes meningkat 14.15 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Saifullizan Ishak berkata, sebanyak 3,946 kes direkodkan dari Januari hingga Oktober tahun ini berbanding 3,457 kes bagi tempoh sama pada 2025, iaitu pertambahan 489 kes.

Menurutnya, ada mangsa yang kehilangan wang simpanan sepanjang hayat dan wang persaraan, malah ada yang terpaksa menanggung hutang akibat diperdaya sindiket penipuan.

“Di sebalik angka tersebut, ada individu yang kehilangan wang simpanan sepanjang hidup mereka.

Ada yang kehilangan wang persaraan dan ada yang terpaksa menanggung hutang akibat diperdaya oleh sindiket penipuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak bagi November 2026 di Padang Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.

Saifullizan berkata, antara modus operandi yang sering digunakan sindiket ialah penipuan e-dagang, pelaburan dan pinjaman tidak wujud, tawaran pekerjaan palsu, penipuan jual beli kenderaan serta penipuan melalui panggilan telefon.

Jelasnya, jenayah komersial, khususnya penipuan dalam talian, memerlukan pendekatan pencegahan yang berbeza kerana kebanyakan kejadian hanya diketahui polis selepas mangsa mengalami kerugian dan tampil membuat laporan.

Katanya, wang mangsa mungkin sudah dipindahkan ketika laporan dibuat, sekali gus menyukarkan usaha mendapatkannya semula meskipun suspek berjaya ditahan dan disabitkan kesalahan.

Sehubungan itu, beliau mahu strategi membanteras jenayah komersial memberikan penekanan kepada langkah pencegahan awal melalui pendidikan masyarakat mengenai taktik sindiket dan cara mengenal pasti cubaan penipuan.

“Jangan sekadar memberitahu masyarakat supaya berhati-hati dengan scammer.

Kita mesti mendidik mereka bagaimana scammer memperdayakan mangsa, bagaimana mengenali cubaan penipuan dan bagaimana mengelakkan diri daripada menjadi mangsa,” katanya.

Bagi memperkukuh usaha tersebut, Saifullizan mahu Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) serta Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bagi melaksanakan gerakan kesedaran secara besar-besaran dan berterusan di seluruh Sarawak.

Menurutnya, kerjasama itu perlu diperluas kepada institusi kewangan, syarikat telekomunikasi, agensi kerajaan, institusi pendidikan dan pemimpin masyarakat, selain memanfaatkan media sosial bagi memastikan maklumat pencegahan jenayah sampai kepada masyarakat di bandar, luar bandar dan pedalaman.

Beliau menegaskan keberkesanan program kesedaran tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah program atau kehadiran peserta semata-mata, sebaliknya perlu dinilai melalui tahap kefahaman masyarakat terhadap taktik penipuan serta pengurangan jumlah mangsa.

“Bagi saya, mencegah seratus orang daripada menjadi mangsa penipuan adalah lebih baik daripada menyiasat seratus kes setelah mereka kehilangan wang,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

HIKMAH perkukuh gerak kerja dakwah

KUCHING: Harakah Islamiah (HIKMAH) akan terus memperkukuh keupayaan organisasi itu dalam melaksanakan gerak kerja dakwah dan pelbagai program pembangunan masyarakat Islam secara lebih sistematik serta