ARTIKEL

CP Saifullizan Ishak memeriksa perbarisan anggota pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak bagi November 2026 hari ini.

Rampasan dadah di Sarawak melonjak lebih 210 peratus, cecah RM102 juta

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Nilai rampasan dadah dan racun di Sarawak melonjak lebih 210 peratus kepada kira-kira RM102 juta bagi tempoh 1 Januari hingga 15 November tahun ini, berbanding RM32.8 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Saifullizan Ishak berkata, peningkatan itu disertai pertambahan tangkapan berkaitan dadah sebanyak 9.4 peratus, daripada 11,274 kepada 12,338 tangkapan sepanjang tempoh berkenaan.

Menurutnya, daripada keseluruhan tangkapan yang direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, seramai 637 individu dikategorikan sebagai pembekal, 2,604 individu sebagai pemilik dan 9,097 lagi sebagai pengguna dadah.

CP Saifullizan Ishak memeriksa perbarisan anggota pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak bagi November 2026 hari ini.

“Tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 turut menyaksikan peningkatan tangkapan daripada 16 kepada 33 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak bagi November 2026 di Padang Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Saifullizan menegaskan bahawa kejayaan membanteras ancaman dadah tidak boleh diukur berdasarkan jumlah tangkapan dan nilai rampasan semata-mata, sebaliknya perlu dinilai melalui keberkesanan mengurangkan bekalan serta melumpuhkan rangkaian pengedaran dalam masyarakat.

“Persoalannya, sejauh mana tindakan kita berjaya mengurangkan bekalan dadah dalam masyarakat dan melumpuhkan rangkaian pengedaran?” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu operasi penguatkuasaan diperkasakan dengan menumpukan perhatian kepada pembekal, pengedar, dalang sindiket serta rangkaian kewangan yang menyokong kegiatan pengedaran dadah.

Menurutnya, pendekatan tersebut perlu dilaksanakan tanpa mengabaikan tindakan terhadap kesalahan dadah lain, termasuk pemilikan dan penyalahgunaan bahan terlarang.

Saifullizan berkata, usaha memerangi dadah memerlukan strategi menyeluruh yang menangani kedua-dua aspek bekalan dan permintaan bagi memastikan kegiatan pengedaran dapat dibendung secara berkesan.

“Selagi wujud permintaan, selagi itulah akan ada pihak yang berusaha membekalkan dadah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa ancaman dadah bukan sekadar isu jenayah, malah menjejaskan institusi kekeluargaan, kesejahteraan masyarakat serta masa depan generasi muda Sarawak.

Justeru, katanya, pendekatan memerangi dadah yang dilaksanakan kepimpinan terdahulu akan diteruskan dan diperkukuh bagi memastikan kesinambungan usaha membanteras kegiatan berkenaan.

“Perang ke atas najis dadah tidak boleh dimenangi melalui tangkapan semata-mata,” tegasnya.

BERITA LAIN

HIKMAH perkukuh gerak kerja dakwah

KUCHING: Harakah Islamiah (HIKMAH) akan terus memperkukuh keupayaan organisasi itu dalam melaksanakan gerak kerja dakwah dan pelbagai program pembangunan masyarakat Islam secara lebih sistematik serta

BERITA TERBARU

HIKMAH perkukuh gerak kerja dakwah

KUCHING: Harakah Islamiah (HIKMAH) akan terus memperkukuh keupayaan organisasi itu dalam melaksanakan gerak kerja dakwah dan pelbagai program pembangunan masyarakat Islam secara lebih sistematik serta