ARTIKEL

Datuk Fazzrudin Abdul Rahman melakukan simbolik penyerahan Lesen B2 kepada penerima sambil disaksikan oleh Pengarah JPJ Sarawak Norizan Jili.

809 peserta terima manfaat lesen B2 DUN Tupong

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seramai 809 peserta menerima manfaat Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong yang menawarkan kos mendapatkan lesen motosikal sebanyak RM250 seorang.

Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman, berkata kos tersebut jauh lebih rendah berbanding kos mendapatkan lesen memandu kelas sama di tempat lain yang boleh mencecah antara RM500 hingga RM700.

Datuk Fazzrudin Abdul Rahman bersama Pengarah JPJ Sarawak Norizan Jili merakam foto bersama peserta Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026.

Beliau berkata, program berkenaan membuktikan bahawa kerjasama antara agensi kerajaan, pihak swasta, parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mampu memberikan manfaat besar kepada masyarakat, khususnya golongan belia.

“Bayarnya sedikit, tetapi kos sebenarnya mahal. Jadi kita perlu menghargai apa yang telah dilaksanakan oleh pihak-pihak yang membantu kita mendapatkan lesen dengan harga yang murah,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 anjuran DUN Tupong di Dewan SUPP, Jalan Sungai Tengah, di sini hari ini.

Menurutnya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak memainkan peranan penting dalam memastikan peserta memperoleh lesen selepas melalui proses latihan dan ujian yang ditetapkan.

Fazzrudin, yang juga ADUN Tupong, turut merakamkan penghargaan kepada Institut Memandu Cangiran yang menurutnya sanggup bekerjasama melaksanakan program berkenaan walaupun keuntungan yang diperoleh tidak besar, demi membantu masyarakat mendapatkan lesen pada kos lebih rendah.

“Bukan mudah untuk melaksanakan program seperti ini. JPJ sendiri tidak boleh melakukannya, Canggih Rania sahaja tidak boleh dan kami juga tidak boleh melakukannya seorang diri.

“Inilah menunjukkan betapa pentingnya kerjasama antara kita untuk menghasilkan satu-satu kejayaan,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan program itu turut mendapat sokongan pasukan PBB N.6 Tupong termasuk Pemuda, Wanita, Bapa dan Anak Belia yang bersama-sama memastikan program berkenaan dapat dilaksanakan serta memberi manfaat kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Fazzrudin mengingatkan peserta supaya melihat manfaat yang diterima bukan sekadar dari sudut kewangan, sebaliknya sebagai peluang untuk memperoleh ilmu dan kemahiran baharu yang boleh digunakan dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata, setiap masa yang diluangkan dalam sesuatu program perlu menghasilkan manfaat, sama ada dalam bentuk ilmu, kemahiran atau pengalaman yang boleh membantu seseorang menjadi lebih baik.

“Bayangkan apabila kita menghadapi setiap hari dengan mindset begitu, insya-Allah di hujung tahun kita akan menjadi seorang yang berlainan, lebih positif dan lebih baik berbanding awal tahun,” katanya.

Fazzrudin turut menyeru peserta supaya menggunakan lesen yang diterima dengan penuh tanggungjawab dan tidak menyalahgunakan kemudahan tersebut sehingga membahayakan diri sendiri atau pengguna jalan raya lain.

Katanya, lesen memandu bukan sekadar dokumen untuk membolehkan seseorang menunggang motosikal, sebaliknya datang bersama tanggungjawab untuk mematuhi undang-undang dan memastikan keselamatan semua pihak.

“Gunalah sebaik-baiknya lesen yang bakal diberikan kepada kita. Gunalah untuk kebaikan dan manfaat kita bersama, untuk keluarga dan diri sendiri, seterusnya memberi manfaat kepada Sarawak dan Malaysia,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU