Trending

835 unit rumah baharu di Matang

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel
Datuk Seri Dr Sim (tiga kanan) melihat cadangan pembinaan Projek Perumahan Petra Vistana. Turut kelihatan James Hii (dua kanan) dan Fathi Hambali (tiga kiri).

KUCHING: Bagi membantu mengurangkan masalah perumahan di Kuching, sebanyak 835 unit rumah baharu bakal dibina di Taman Koperkasa, Jalan Matang, sebuah kawasan pinggir bandar yang sedang pesat membangun.

Dibina di kawasan seluas 35.5 hektar, projek perumahan yang dinamakan Petra Vistana itu akan dibangunkan dalam lima fasa dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lapan tahun, iaitu pada 2030.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek yang diusahakan oleh Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad (Koperkasa) itu bertujuan untuk membantu anggotanya memiliki kediaman sendiri.

“Usaha ini merupakan berita baik untuk ahli-ahli Koperkasa yang terdiri daripada penjawat awam Sarawak dan Persekutuan, kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Justeru, diharap projek yang melibatkan empat blok perumahan dengan 835 unit pelbagai jenis rumah ini akan menyediakan kediaman yang selesa untuk rakyat,” katanya.

Abang Johari berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian pada Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Petra Vistana (Taman Koperkasa) di sini, hari ini.

Dalam masa yang sama, Abang Johari menggesa masyarakat untuk memanfaatkan skim yang disediakan Kerajaan Sarawak, iaitu bantuan RM10,000 untuk pembeli rumah pertama membayar deposit pinjaman perumahan bagi membeli kediaman sendiri.

Projek perumahan yang diuruskan oleh syarikat Green Summit Development Sdn Bhd itu mempunyai sebanyak 739 unit rumah teres, 68 unit rumah semi-D dan 28 unit rumah banglo berharga dari RM300,000 hingga RM500,000. Turut bakal dibangunkan 40 unit rumah kedai tiga tingkat.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Green Summit Development Sdn Bhd James Hii Sing Lung, Pengerusi Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad Fathi Hambali dan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

26 November 2023

Berita Terbaru