ARTIKEL

SIMBOLIK PENDIDIKAN… Abdul Rahman Junaidi bergambar bersama-sama pelajar yang menerima insentif pelajar IPT DUN Pantai Damai pada majlis penyampaian insentif berkenaan.

87 Pelajar DUN Pantai Damai Terima Insentif Pendidikan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Aspirasi satu keluarga, satu graduan di DUN Pantai Damai kini berkembang menjadi pencapaian lebih besar apabila semakin banyak ahli keluarga berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, perkembangan itu membuktikan kesedaran masyarakat dengan kepentingan pendidikan tinggi.

“Sekitar 30 tahun lalu, kita memulakan aspirasi ‘satu keluarga, seorang graduan’. Namun, hari ini bukan lagi sekadar seorang graduan dalam satu keluarga, sebaliknya ada keluarga yang mempunyai dua, tiga malah kadangkala semua anak mereka bergelar graduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penghargaan dan penyampaian insentif pendidikan kepada pelajar di kawasan DUN Pantai Damai, di sini, hari ini.

Menurut Abdul Rahman, kejayaan melanjutkan pengajian ke universiti atau institusi pendidikan tinggi merupakan satu pencapaian yang wajar dibanggakan kerana ia merealisasikan impian yang dibina sejak di bangku sekolah.

Katanya, kejayaan itu bukan sahaja menggembirakan pelajar, malah menjadi kebanggaan ibu bapa dan seluruh ahli keluarga yang sentiasa memberi sokongan sepanjang perjalanan pendidikan mereka.

Dalam pada itu, seramai 87 pelajar yang menetap di sekitar kawasan DUN Pantai Damai menerima insentif pendidikan hari ini menerusi program yang dilaksanakan sejak 2001 dan kini memasuki tahun ke-25.

Beliau berkata, majoriti penerima melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, manakala sebahagian kecil menyambung pengajian ke peringkat sarjana.

“Bagi membantu persediaan pelajar memulakan pengajian, penerima yang melanjutkan pengajian dalam negeri menerima RM400, manakala mereka yang menyambung pengajian di luar negeri menerima RM500,” katanya.

Beliau pada masa sama menasihatkan pelajar supaya memanfaatkan tempoh pengajian dengan sebaik-baiknya, khususnya dengan memberi tumpuan kepada pelajaran sehingga berjaya memperoleh kelayakan yang diimpikan.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU