JULAU: Hampir 90 peratus rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meluan kini menerima bekalan elektrik menerusi sistem grid, mencerminkan kemajuan ketara penyediaan infrastruktur asas di kawasan pedalaman berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Datuk Rolland Duat Jubin berkata, pencapaian itu turut disokong pelaksanaan Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES), khususnya bagi penduduk yang tinggal di kawasan terpencil dan belum mempunyai akses jalan raya.
Katanya, SARES menjadi pendekatan penting untuk memastikan penduduk di rumah panjang yang sukar dihubungkan dengan rangkaian grid utama tetap memperoleh bekalan elektrik bagi keperluan harian.

“Bagi kawasan yang mempunyai akses kepada jaringan grid, kerajaan terus memperluaskan sambungan bekalan elektrik secara berperingkat, manakala SARES berperanan sebagai penyelesaian kepada penempatan yang lebih jauh dan sukar dicapai,” katanya.
“Secara keseluruhannya, kira-kira RM70 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan projek berkaitan sambungan grid elektrik di kawasan Meluan, manakala sekitar RM19 juta lagi disediakan untuk pelaksanaan SARES,” katanya kepada media di sini, hari ini.
Rolland berkata, usaha memperluaskan liputan elektrik itu memberi kesan langsung terhadap kehidupan masyarakat luar bandar kerana penduduk kini dapat menikmati kemudahan asas elektrik dengan lebih baik, selain membuka ruang kepada peningkatan aktiviti pendidikan dan ekonomi setempat.

Dalam perkembangan berkaitan, projek penyambungan bekalan elektrik melalui grid ke kawasan Ulu Mujok kini berada pada peringkat proses tender sebelum pelaksanaannya dapat dimulakan.
“Projek ini antara usaha yang masih diberi perhatian bagi melengkapkan liputan bekalan elektrik di kawasan pedalaman Meluan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada usaha menutup jurang infrastruktur antara kawasan bandar dan luar bandar supaya lebih banyak rumah panjang di DUN Meluan dapat menikmati bekalan elektrik yang stabil dan berterusan.




