KUCHING: Acara larian bukan kompetitif ‘Run for Peace 2023’ anjuran Soka Gakkai Malaysia (SGM) cawangan Sarawak kini kembali dengan penyertaan sekitar 9,000 orang.
Selepas tiga tahun tidak dianjurkan akibat penularan wabak Covid-19, acara untuk pencinta keamanan itu bakal dianjurkan pada bulan Julai depan di Kuching, Sibu dan Miri.
Menurut sekretariatnya, Linda Lam, program larian itu bertujuan untuk mempromosikan budaya keamanan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat, selain menyokong inisiatif kelestarian planet sejajar Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Pada bulan Julai ini, sekitar 70,000 individu akan mengambil bahagian dalam larian ini yang dianjurkan di 23 lokasi di seluruh negara.
“Bagi Sarawak pula, ia akan diadakan di tiga lokasi iaitu Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di Kuching pada 2 Julai, manakala masing-masing 9 Julai di Sibu dan Miri,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya acara tersebut menawarkan dua kategori berbeza, iaitu lima dan tujuh kilometer (km) dengan bayaran penyertaan sebanyak RM30 seorang.
“Setakat ini, kami sudah menerima lebih 1,000 penyertaan untuk Kuching dan tarikh tutup penyertaan adalah pada 31 Mei depan.
“Bagaimanapun kami menyasarkan sebanyak 5,000 peserta untuk di Kuching, manakala Sibu dan Miri masing-masing 2,000 peserta,” ujarnya.
Untuk rekod, program dwitahunan itu dianjurkan oleh SGM sejak tahun 2005, dan sehingga kini, lebih daripada 360,000 pencinta keamanan telah menyertai acara larian kebangsaan ini yang mempromosikan idea “keamanan bermula dengan saya!” itu.
Hadir sama Pengerusi SGM cawangan Sarawak, Fang Chai Hong.






