ARTIKEL

Datuk Seri Fatimah Abdullah. FOTO RAMIDI SUBARI

929 usahawan mikro kebajikan Sarawak keluar daripada kemiskinan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seramai 929 usahawan mikro kebajikan di Sarawak berjaya keluar daripada kemiskinan selepas pendapatan mereka melepasi garis kemiskinan menerusi program pembangunan ekonomi Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) sejak 2021 hingga September 2026.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, jumlah itu mewakili 43 peratus daripada 2,192 usahawan yang menerima geran keusahawanan dengan peruntukan keseluruhan RM10.69 juta dalam tempoh berkenaan.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 929 orang atau 43 peratus usahawan Wellbest berjaya dilahirkan dan dari segi pendapatan memang melebihi paras garis kemiskinan,” katanya.

“Ini adalah satu kejayaan dan kerajaan memang mahu melihat kejayaan seperti ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Usahawan Mikro Kebajikan 2026 Karnival Wellbest Kebajikan 2026 di Pusat Konvensyen MetroCity di sini, hari ini.

Fatimah berkata, pencapaian itu menunjukkan pendekatan Kebajikan Produktif bukan sekadar menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan, tetapi turut membuka laluan kepada penerima untuk meningkatkan pendapatan dan membina kehidupan lebih berdikari.

“Program ini memberi tumpuan kepada penerima bantuan bulanan JKMS yang mempunyai potensi untuk menjalankan aktiviti keusahawanan dan menjana pendapatan,” ujarnya.

“Melalui penglibatan dalam program keusahawanan ini, mereka akan mampu menjana serta meningkatkan taraf sosioekonomi bagi meneruskan kelangsungan hidup tanpa terus bergantung kepada bantuan bulanan dan bantuan kewangan JKMS,” katanya.

Menurutnya, antara sokongan yang diberikan ialah Geran Pelancaran sehingga RM5,000 dalam bentuk peralatan bagi membantu usahawan meningkatkan kapasiti pengeluaran.

“Geran RM5,000 itu bukan tunai, tetapi untuk membeli peralatan supaya dengan peralatan tersebut mereka dapat mengeluarkan produk dalam kuantiti yang lebih besar dan dengan itu kita berharap mereka akan dapat menambah pendapatan,” jelasnya.

“Kita mahu pastikan peralatan yang diberikan melalui geran itu adalah peralatan yang benar-benar mereka perlukan bagi mengelakkan ketidakpadanan dan pembaziran,” katanya.

Fatimah berkata, penerima yang berjaya meningkatkan pendapatan sehingga melepasi garis kemiskinan untuk tempoh yang ditetapkan tidak lagi perlu bergantung kepada bantuan bulanan JKMS.

“Ini konsep Kebajikan Produktif supaya mereka tidak akan terus-terusan bergantung kepada bantuan bulanan yang diberikan kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kejayaan usahawan mikro kebajikan tidak hanya bergantung kepada pemberian geran, sebaliknya JKMS turut menyediakan bimbingan, latihan, pemantauan dan naziran secara berterusan.

Katanya, seramai 546 usahawan mikro kebajikan masih berada dalam bimbingan JKMS ketika ini bagi memastikan mereka dapat mengurus serta mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Kita tidak memberi geran begitu sahaja, tetapi ada latihan dan ada proses pemantauan, proses bimbingan, latihan serta naziran,” katanya.

“Kita buat naziran juga untuk memastikan usahawan kita akhirnya, walau apa cabaran, boleh berjaya,” jelasnya.

Sementara itu, usahawan mikro kebajikan di bawah JKMS merekodkan jualan terkumpul RM7.9 juta bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 menerusi laporan jualan bulanan dan jualan promosi.

Fatimah berkata, bagi tahun ini, JKMS menyasarkan melahirkan 350 usahawan baharu di seluruh Sarawak, dengan 252 atau 72 peratus telah diluluskan geran masing-masing setakat September.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memperkukuh program pembangunan ekonomi berkenaan bagi memastikan lebih ramai penerima bantuan mampu meningkatkan pendapatan, memperbaiki taraf sosioekonomi keluarga dan akhirnya berdiri atas kaki sendiri.

“Kita tidak mahu bila diminta sekali sahaja dapat hantar, lepas itu tidak ada lagi, sebaliknya kita mahu ia berterusan dan mampan,” katanya.

[

BERITA LAIN

Wanita maut dalam kemalangan di Batu Niah

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pan Borneo, berhampiran Simpang WTK, Batu Niah, pagi

BERITA TERBARU

Wanita maut dalam kemalangan di Batu Niah

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pan Borneo, berhampiran Simpang WTK, Batu Niah, pagi