ARTIKEL

Pengerusi Pasukan Latihan Negeri, Ikmal Bong Abdullah (duduk, empat dari kanan) bersama Chang Wee Khee (duduk, tiga dari kanan) merakamkan gambar kenangan bersama peserta kursus.

93 pemimpin pengakap perkukuh kepimpinan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Seramai 93 pemimpin pengakap dari seluruh Sarawak menyertai Kursus Kepimpinan Manikayu Peringkat 3A dan 3B bagi memperkukuh kemahiran serta keupayaan mereka membimbing generasi muda menerusi pergerakan kepengakapan.

Kursus selama tiga hari bermula 30 Oktober hingga 1 November 2026 itu berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkalan Kuap, Kota Samarahan.

Daripada jumlah itu, 40 peserta merupakan pemimpin Pengakap Kanak-Kanak, diikuti 34 pemimpin Pengakap Muda dan 19 pemimpin Pengakap Remaja.

Program berkenaan turut mendapat sokongan 10 tenaga jurulatih, penceramah dan pembimbing berpengalaman bagi memastikan pengisian kursus berjalan lancar dan mencapai objektif.

Kursus itu memberi penekanan kepada pembentukan pemimpin berpengetahuan, berketerampilan dan berwibawa, khususnya dalam merancang, mengurus serta melaksanakan aktiviti kepengakapan berdasarkan kaedah dan prinsip pendidikan pengakap.

Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai pengisian teori dan praktikal termasuk ceramah, latihan amali, simulasi, bengkel serta pembentangan secara individu dan berkumpulan.

Pendekatan interaktif itu turut memberi peluang kepada peserta berkongsi pengalaman, mengaplikasikan pengetahuan serta meningkatkan keyakinan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin.

Kursus berkenaan diketuai Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Sarawak, Chang Wee Khee, dengan sokongan jurulatih daripada Pasukan Latihan Negeri Sarawak.

Ketua Pesuruhjaya Pengakap Sarawak, John Lim Boon Beng, turut menyampaikan beberapa topik berkaitan pembentukan pemimpin berintegriti dan berkeupayaan membimbing generasi muda.

Kursus kali ini turut menghimpunkan peserta daripada pelbagai peringkat umur dan pengalaman, sekali gus mencerminkan semangat pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan pemimpin pengakap.

Ryan Chai merupakan peserta termuda, manakala Haji Sulaiman Abu Bakar dari Kuala Lumpur pula peserta paling veteran yang turut menyertai kursus berkenaan.

Kepelbagaian latar belakang peserta menjadi platform untuk bertukar pengalaman, memperluas jaringan persahabatan serta memperkukuh semangat persaudaraan dalam Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak.

Kursus Manikayu merupakan komponen penting dalam sistem latihan kepimpinan Pengakap Malaysia bagi melengkapkan pemimpin dengan pengetahuan dan kemahiran kepengakapan.

Selain meningkatkan kemahiran, latihan itu turut membentuk pemimpin sebagai pendidik, pembimbing dan teladan kepada ahli pengakap di bawah tanggungjawab masing-masing.

Penganjuran program seumpama itu diharap dapat melahirkan lebih ramai pemimpin berkualiti, sekali gus memastikan pendidikan kepengakapan terus relevan dalam membentuk generasi muda yang berdisiplin, berdikari dan bertanggungjawab.

BERITA LAIN

Ba’Kelalan berpotensi jadi destinasi pelancongan unik

KUCHING: Keunikan budaya, kraftangan dan hasil tempatan menjadikan Ba’Kelalan berpotensi muncul sebagai destinasi pelancongan baharu yang menarik di Sarawak. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk

BERITA TERBARU

Ba’Kelalan berpotensi jadi destinasi pelancongan unik

KUCHING: Keunikan budaya, kraftangan dan hasil tempatan menjadikan Ba’Kelalan berpotensi muncul sebagai destinasi pelancongan baharu yang menarik di Sarawak. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk