95 orang sudah dikompaun di Sarawak

KUCHING: Seramai 95 individu telah dikenakan notis kompaun RM1,000 dalam tempoh 24 jam operasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negeri, sehingga jam 8 pagi hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar M.m Sree berkata, jumlah tersebut sekaligus menunjukkan peningkatan berbanding notis kompaun yang telah dikeluarkan pada hari operasi sebelumnya.

Menurutnya, tindakan tegas daripada polis bagi memastikan pematuhan PKP dilaksanakan dengan baik antara punca mengapa jumlah kompaun meningkat secara berterusan.

“Kuching merekodkan jumlah individu dikenakan kompaun tertinggi dengan jumlah seramai 25 orang, diikuti Sarikei 21 orang dan Kota Samarahan (14).

“Pihak kita kini tidak lagi berkompromi dan akan bertindak tegas dalam mengeluarkan kompaun atau menangkap individu-individu yang tidak memberikan kerjasama semasa kawalan dilakukan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dedahnya, tangkapan turut dibuat terhadap 17 individu ingkar arahan PKP yang terdiri daripada Miri seramai sembilan orang, Kuching(2), Sibu(2), Padawan (2), Dalat (1), dan Tatau(1).

Susulan itu, katanya, pematuhan arahan PKP di negeri ini walaubagaimanapun masih kekal positif dengan kadar melebihi 97 peratus secara keseluruhan.

Ujarnya, penguatkuasaan semenjak 18 Mac 2020 sehingga hari ini merekodkan jumlah tangkapan individu seramai 573 orang manakala kompaun seramai 264 orang.

Suara Sarawak