KUCHING: Sebanyak 953,373 hektar Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak telah dibangunkan untuk pertanian komersial berskala besar menerusi pelbagai pendekatan sekali gus mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh pembangunan ekonomi luar bandar di negeri ini.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, pembangunan tanah NCR tersebut melibatkan nilai pelaburan keseluruhan sebanyak RM81 juta bagi tahun 2025.
‘’Pembangunan berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama pelbagai agensi termasuk Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA), Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (SLDB), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), syarikat swasta serta petani individu,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Dr Stephen Rundi menambah, pengurusan dan pembangunan tanah NCR memerlukan pendekatan holistik serta bersepadu — merangkumi pelbagai aspek termasuk pertimbangan undang-undang, ekonomi, sosial, alam sekitar dan tadbir urus.
“Justeru, permohonan pembangunan tanah NCR akan dinilai dan diluluskan menerusi Jawatankuasa Khas Tanah NCR bagi kawasan di bawah 100 hektar, manakala kawasan melebihi 100 hektar pula akan diteliti oleh Pasukan Petugas Negeri Pembangunan Tanah NCR,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Malaysia telah meluluskan RM1.93 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (13MP) bagi pelaksanaan 28 projek di Sarawak menerusi Program Jalan Luar Bandar (JALB) dan Program Jambatan Luar Bandar (JMLB).
Projek tersebut dijangka dapat meningkatkan aksesibiliti, memperkukuh keselamatan makanan serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar.
Pada masa sama, kementeriannya melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak terus memperkukuh pembangunan kejuruteraan sungai dan pantai menerusi kerja perlindungan tebing sungai dan pantai, program pemulihan dan pembersihan sungai, projek penambahbaikan muara sungai serta kajian lembangan sungai.
‘’Dengan siling peruntukan kira-kira RM975 juta di bawah program pembiayaan negeri dan Persekutuan, inisiatif tersebut dijangka memberi manfaat kepada lebih 200,000 penduduk.“Antara manfaatnya termasuk meningkatkan daya tahan terhadap banjir, melindungi tanah pertanian dan aset awam, meningkatkan keselamatan navigasi serta menyokong pertumbuhan sosioekonomi mampan di kawasan sungai dan pesisir pantai,” katanya.

