ARTIKEL

Abang Johari bercakap pada majlis makan malam bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Bahagian Mukah, malam tadi. Foto: Mohd Alif Noni

Tiang Jambatan Batang Lupar 1 dipercayai bantu tingkatkan populasi terubok

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Lebih 30 tiang Jambatan Batang Lupar 1 dipercayai mewujudkan kawasan makanan baharu bagi ikan terubok, sekali gus berpotensi menyumbang kepada peningkatan populasi spesies itu di perairan sekitar Sebuyau.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, struktur tiang jambatan berkenaan dipercayai menyediakan persekitaran yang sesuai untuk penghasilan sumber makanan ikan termasuk anak terubok yang dikenali sebagai emperit.

“Kenapa terubok bertambah? Sebab kita membina jambatan dan tiang-tiangnya menghasilkan makanan untuk terubok.

“Secara kebetulan, jambatan yang kita bina mempunyai tiang yang menyediakan tempat untuk makanan ikan terhasil. Sebab itu terubok bertambah di kawasan Sebuyau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Bahagian Mukah, di sini, malam tadi.

Menurutnya, keadaan itu menunjukkan pembangunan infrastruktur dan ekosistem mempunyai hubungan yang perlu difahami berasaskan sains, khususnya ketika merancang pembangunan sesuatu kawasan.

“Semua ini berkaitan sains. Apabila kita membangunkan sesuatu seperti ini, kita mesti menggunakan pengetahuan sains untuk membangunkan kawasan masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak telah melabur sebanyak RM70 juta untuk membangunkan tukun tiruan di sepanjang perairan negeri dari Tanjung Datu hingga Lawas.

“Usaha berkenaan turut menyumbang kepada peningkatan sumber ikan di perairan Sarawak termasuk di Mukah.

“Sebelum ini, Sarawak bergantung kepada peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan projek tukun tiruan dengan pembiayaan sekitar RM2 juta hingga RM4 juta pada satu-satu masa.

“Bagaimanapun, kita kemudian mengambil keputusan melaksanakan sendiri inisiatif berkenaan dengan peruntukan yang lebih besar bagi meningkatkan sumber perikanan di sepanjang pesisir negeri,” jelasnya.

Tambahnya, peningkatan sumber ikan termasuk di Mukah menunjukkan pelaburan dalam pemuliharaan marin boleh memberikan kesan langsung bukan sahaja kepada ekosistem, malah kepada sumber makanan dan pendapatan komuniti nelayan.

“Apabila kita membangunkan sesuatu kawasan, ilmu dan sains mesti digunakan supaya pembangunan yang dibuat akhirnya turut memberi manfaat kepada alam sekitar serta kehidupan rakyat,” katanya.

Untuk rekod, Kerajaan Sarawak sebelum ini memperuntukkan RM70 juta bagi Fasa 1 projek tukun tiruan yang melibatkan penempatan 16,800 unit tukun dari Tanjung Datu hingga Lawas, sebagai habitat serta kawasan pembiakan hidupan marin.

Keputusan melaksanakan projek itu menggunakan dana negeri dibuat selepas peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi program tukun tiruan sebelum ini diberikan pada kadar yang terhad dan tidak konsisten.

Usaha berkenaan kini menunjukkan kesan positif apabila peningkatan hasil tangkapan ikan direkodkan di beberapa kawasan termasuk Belawai, Pulau Bruit, Lundu, Kabong, Sebuyau dan Mukah selepas pelaksanaan projek tukun tiruan.

Sehingga Oktober ini, hampir 17,000 unit tukun tiruan ditempatkan di sepanjang kira-kira 740 kilometer perairan Sarawak dari Tanjung Datu hingga Lawas, dengan keseluruhan inisiatif melibatkan peruntukan hampir RM100 juta menerusi dua fasa.

Projek berkenaan turut bertujuan melindungi sumber marin daripada aktiviti kapal tunda di kawasan nelayan tradisional, meningkatkan sumber perikanan serta mengurangkan gangguan terhadap kawasan pembiakan dan laluan migrasi penyu.

BERITA LAIN

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi

BERITA TERBARU

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi