ARTIKEL

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee | Foto: Ghazali Bujang

Bahasa Melayu wajib lulus sebelum graduasi universiti swasta – Annuar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Bahasa Melayu bukan syarat khusus untuk memasuki universiti swasta, namun pelajar tetap wajib lulus mata pelajaran Bahasa Kebangsaan A di bawah Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) sebelum menamatkan pengajian, kata Datuk Dr Annuar Rapaee.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak itu berkata, perbezaan antara syarat kemasukan dan graduasi perlu difahami, khususnya dalam pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang melibatkan empat universiti swasta di negeri ini.

“Untuk masuk universiti swasta, undang-undang tidak menetapkan Bahasa Melayu sebagai syarat kemasukan.

“Tetapi sebelum bergraduasi, pelajar mesti memenuhi syarat bahasa kebangsaan, iaitu lulus mata pelajaran Bahasa Kebangsaan A di bawah Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU),” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Beliau berkata, ketetapan itu terkandung dalam Seksyen 41(5) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), yang menetapkan penguasaan bahasa kebangsaan sebagai prasyarat penganugerahan kelayakan akademik bagi pelajar Malaysia yang belum memenuhi syarat berkenaan.

Justeru, pelajar terbabit perlu mengikuti dan lulus Bahasa Kebangsaan A sebelum layak bergraduasi.

Annuar menjelaskan, walaupun universiti berkenaan dimiliki atau mempunyai kaitan dengan kerajaan Sarawak, operasinya tetap tertakluk kepada Akta 555, yang berbeza daripada perundangan berkaitan universiti awam.

Mengulas pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), beliau berkata, pengiktirafan oleh Sarawak membolehkan pemegang sijil itu memohon kemasukan ke universiti berkenaan, tertakluk kepada syarat kemasukan yang ditetapkan.

Bagaimanapun, pengiktirafan UEC tidak mengecualikan pelajar daripada memenuhi syarat Bahasa Melayu sebelum graduasi sekiranya mereka belum mempunyai pencapaian bahasa kebangsaan yang diperlukan.

Beliau berkata, FTES bertujuan memperluas akses pendidikan tinggi kepada anak Sarawak tanpa mengetepikan kepentingan penguasaan bahasa kebangsaan.

“Jika pelajar boleh lulus mata pelajaran lain, saya yakin mereka juga mampu lulus Bahasa Kebangsaan A dengan bimbingan universiti,” katanya.

Annuar turut menggesa orang ramai menilai isu berkenaan berdasarkan peruntukan undang-undang dan fakta, sambil menegaskan bahawa peluang memasuki universiti swasta tidak bermakna pelajar dikecualikan daripada syarat Bahasa Melayu untuk menamatkan pengajian.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU