KUCHING: Fasa seterusnya projek naik taraf Jalan Bau-Kuching dimohon diberi perhatian dalam perancangan pembangunan Sarawak bagi memastikan keperluan pengguna jalan raya terus dipenuhi.
ADUN Serumbu Datuk Miro Simuh berkata, naik taraf menyeluruh jalan berkenaan penting susulan peningkatan aliran trafik serta perkembangan kawasan kediaman, komersial dan pelancongan di Bau.
Katanya, Jalan Bau-Kuching merupakan laluan perhubungan utama penduduk Bau dan kawasan sekitarnya untuk ke Kuching bagi mendapatkan pekerjaan, pendidikan, penjagaan kesihatan serta menjalankan urusan perniagaan.
Beliau menyambut baik kerja naik taraf yang sedang dilaksanakan dari persimpangan Bau-Lundu ke Bandar Bau dengan peruntukan dilaporkan sebanyak RM74 juta.
Bagaimanapun, katanya, projek berkenaan hanya melibatkan satu jajaran daripada keseluruhan rangkaian jalan raya itu.
“Saya bimbang naik taraf menyeluruh Jalan Bau-Kuching tidak dikenal pasti secara khusus dalam projek Belanjawan Sarawak 2027 yang diumumkan,” katanya Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 dan Usul Merujuk Resolusi Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini.
Sehubungan itu, Miro meminta penjelasan kerajaan berkaitan status terkini keseluruhan program naik taraf berkenaan, termasuk cadangan fasa seterusnya serta penetapan peruntukan khusus dan garis masa pelaksanaan.
Beliau turut memohon agar kerajaan mempertimbangkan untuk mempercepat pelaksanaan fasa seterusnya dan memasukkannya dalam program pembangunan akan datang.
Katanya, perancangan awal diperlukan bagi menyediakan infrastruktur yang mampu menyokong pertumbuhan Daerah Bau dan kawasan sekitarnya, selain menjaga kepentingan, keselamatan dan kesejahteraan penduduk.

