KUCHING: Ketika timbul persoalan mengenai menteri Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang mahu berundur pada Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13, Datuk Seri Fatimah Abdullah masih belum memberi kepastian sama ada akan bertanding semula di kerusi DUN Dalat.
Sebaliknya, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti itu meminta semua pihak menunggu hari penamaan calon bagi mengetahui kedudukannya pada pilihan raya akan datang.
“Kita tunggu hari penamaan calon. Dalam mesyuarat Gabungan Parti Sarawak (GPS) semalam, kita dimaklumkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat selepas menerima pemakluman daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.
“Jadi, mereka akan mengadakan mesyuarat pada 6 November ini untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.
“Jadi, dari situ nanti mungkin kita akan tahu dengan lebih jelas. Tunggu sajalah,” katanya ketika ditanya sama ada beliau akan bertanding pada PRU Sarawak ke-13 akan datang.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhimpunan Wanita Antarabangsa Asia Selatan 2026 (SIWA 2026) di Wisma Wanita, hari ini.
Sebelum itu, Pengerusi GPS merangkap Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mengesahkan terdapat menteri daripada PBB yang mahu mengundurkan diri pada PRN kali ini, namun enggan mendedahkan identiti mereka.
Berdasarkan senarai Kabinet Sarawak sebelum pembubaran DUN pada 26 Oktober lalu, Fatimah antara lapan wakil rakyat PBB yang memegang jawatan menteri, termasuk Premier dan Timbalan Premier Sarawak.




