BINTULU: Kerjasama erat antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat amat penting dalam memperkukuh usaha pencegahan penyalahgunaan dadah khususnya dalam kalangan generasi muda di kawasan luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, pendekatan secara menyeluruh menerusi program berasaskan komuniti mampu meningkatkan tahap kesedaran masyarakat terhadap bahaya dadah selain memperkukuh jaringan sokongan sosial.

Menurut beliau, pelaksanaan program seumpama itu mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam memobilisasikan usaha pencegahan dadah melalui pendekatan dua hala iaitu “top to down” dan “bottom up” yang lebih dekat dengan masyarakat.
Katanya, inisiatif berkenaan bukan sahaja memberi penekanan kepada pendidikan dan advokasi, malah turut menggalakkan interaksi sosial secara langsung bagi memperkukuh ketahanan komuniti daripada ancaman penyalahgunaan dadah.
“Saya yakin program seperti ini mampu meningkatkan kesedaran awam terhadap bahaya dadah, membentuk komuniti yang lebih proaktif melaksanakan intervensi awal serta mengurangkan stigma terhadap bekas penagih yang sedang menjalani proses pemulihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Program Jelajah Aspirasi “Memperkasa Generasi Terbilang Tanpa Dadah” di Balai Raya Jepak, Kampung Jepak, Khamis petang.
Iskandar turut memuji peranan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sarawak bersama rakan strategik termasuk OSC-MIDS Bintulu, PEMADAM Bintulu, GiatMARA Bintulu, Tabung Baitulmal Bintulu, Pejabat Kesihatan Bintulu, Skuad Antidadah Bintulu dan KMKK Jepak atas kejayaan menjayakan program tersebut.
Dalam pada itu, beliau berkata penglibatan klien AADK menerusi Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) sebagai duta perubahan dilihat mampu memberi inspirasi positif kepada masyarakat khususnya golongan belia.
Tambah beliau lagi, kehadiran berterusan agensi penguatkuasaan di kawasan berisiko tinggi juga penting dalam memperkukuh persepsi masyarakat terhadap aspek keselamatan dan ketenteraman awam.
Beliau berharap program berkenaan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memastikan agenda membanteras penyalahgunaan dadah terus diperkasa demi kesejahteraan komuniti.



