KOTA SAMARAHAN: Bahagian Penguatkuasa Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) menjalankan Operasi Kenderaan Terbiar di kawasan komersial Desa Ilmu di sini, hari ini.
MPKS berkata, operasi itu dilaksanakan selepas tamat tempoh notis amaran selama tujuh hari yang telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan terlibat.
“Bagaimanapun tiada sebarang tindakan susulan diambil oleh pemilik kenderaan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Sehubungan itu pihak Majlis telah mengambil tindakan menyita dan menunda kenderaan yang gagal mematuhi arahan serta notis yang dikeluarkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
MPKS memberitahu, kesemua kenderaan yang disita akan ditempatkan sementara di perkarangan Pejabat MPKS untuk tujuan rekod dan pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan serta pemantauan terhadap kenderaan terbiar akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan persekitaran awam sentiasa bersih, selamat dan teratur, serta memastikan ruang tempat letak kereta dapat digunakan orang awam.”
Kami juga menyeru orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan serta bekerjasama dalam menjaga kebersihan dan imej kawasan perbandaran,” tegasnya.

