GEDONG: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan mengumumkan satu lagi sumber pendapatan baharu yang bakal diterokai oleh kerajaan negeri.
Menurutnya, inisiatif baharu yang bertujuan untuk meningkatkan hasil ekonomi Sarawak itu bakal diumumkan dalam tempoh terdekat.
“Sarawak mempunyai pelbagai pendekatan baharu dan aset sendir. Kita sudah mempunyai stesen televisyen sendiri iaitu TVS, Syarikat Petroleum Sarawak (PETROS), Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) serta syarikat penerbangan sendiri dengan mengambil alih MASwings.
“Dan tidak lama lagi, bakal ada perkara baharu yang saya hendak umumkan. Tetapi tunggulah dahulu. Nanti tiada keterujaan sekiranya saya umumkan sekarang,” katanya.
Abang Johari yang juga ADUN Gedong berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program TVS Prihatin di Dewan Datuk Patinggi Ali di Gedong, hari ini.
Mengulas lanjut ujarnya, bidang baharu yang hendak diumumkan itu adalah sebagai tambahan kepada beberapa sumber pendapatan negeri yang sudah dilaksanakan ketika ini.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan bidang berkenaan yang masih dalam penelitian dan dijangka mengumumkannya sama ada pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak atau selepas itu. Persidangan dijadualkan berlangsung mulai 20 hingga 29 November ini.
Penerokaan bidang ekonomi baharu untuk menjana pendapatan tambahan itu dipercayai untuk menjayakan hasrat kerajaan memberikan bantuan pendidikan kepada anak-anak Sarawak yang menuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan IPT Swasta.




