KUCHING: Amanah Saham Sarawak (ASSAR) dicadangkan mengkaji penubuhan dana amanah saham baharu, iaitu ASSAR 2, bagi memberi peluang kepada masyarakat bukan Bumiputera menyertai pelaburan dan pembangunan ekonomi negeri.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau telah mencadangkan ahli lembaga dan pengurusan tertinggi ASSAR mengkaji pendekatan pelaburan yang lebih mampan serta mampu memberikan pulangan kepada pelabur berlandaskan perkembangan ekonomi Sarawak.

“Kalau Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mempunyai ASB 1 dan ASB 2, mungkin kita juga boleh mewujudkan ASSAR 1 dan ASSAR 2 bagi memberi peluang kepada masyarakat bukan Bumiputera menyertai dana amanah ini.
“Dengan perkembangan ekonomi dan keadaan positif ketika ini, portfolio serta instrumen pelaburan kita boleh diperluas.
“Portfolio pelaburan ASSAR mungkin perlu diperluas dengan memberi penekanan terhadap instrumen yang mampu memberikan pulangan lebih terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Dividen ASSAR bagi Tahun Kewangan Berakhir 30 Jun 2026 di Pusat Hikmah Exchange, di sini, hari ini.
Tegasnya, cadangan itu selaras dengan dasar inklusif Kerajaan Sarawak yang mahu memberi peluang kepada semua anak Sarawak mengambil bahagian dalam pembangunan ekonomi negeri.
Menurutnya, S Pay Global juga boleh dimanfaatkan sebagai saluran bagi memudahkan rakyat membuat pelaburan secara kecil-kecilan dalam ASSAR.
“Sekiranya seseorang mempunyai simpanan RM50 sehari, mengapa tidak melaburkan RM10 dalam ASSAR melalui S Pay Global kerana jumlah kecil itu lama-kelamaan akan bertambah.
“Ini merupakan pendekatan baharu kerana kita sudah mempunyai kemudahan untuk melabur dan saya yakin semua rakyat Sarawak tanpa mengira latar belakang dapat melabur dan bersama-sama membangunkan ekonomi negeri ke tahap lebih tinggi,” ujarnya.
Ketika ditemui pemberita, beliau berkata cadangan menubuhkan ASSAR 1 dan ASSAR 2 itu mengambil kira pendekatan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang menawarkan beberapa instrumen pelaburan kepada masyarakat.
“Kita mencadangkan mewujudkan satu lagi dana yang dibuka kepada masyarakat bukan Bumiputera bagi mengumpulkan dana serta memberi peluang kepada mereka menyimpan dalam ASSAR.
“Ini akan memberi peluang kepada anak Sarawak bukan Bumiputera untuk menyimpan. Bagaimanapun, cadangan ini tertakluk kepada penelitian ahli lembaga yang akan mengkajinya terlebih dahulu,” jelasnya.
Beliau menambah, perkembangan ekonomi Sarawak turut menyediakan peluang pelaburan dalam pelbagai projek infrastruktur utama negeri.
“Peluang ini merangkumi pembangunan pelabuhan laut dalam, lapangan terbang antarabangsa, Pelabuhan Bintulu serta Lembaga Pelabuhan Miri.
“Kita telah mengambil alih Pelabuhan Bintulu dan turut membangunkan Pelabuhan Miri, maka terdapat peluang untuk mereka melabur dalam ekonomi Sarawak yang sedang rancak berkembang,” tambahnya.
Dalam pada itu, Abang Johari turut melihat potensi kerjasama dengan bank saudagar dan bank pelaburan bagi menyediakan instrumen pembiayaan seperti bon kepada pihak yang mengambil bahagian dalam pembangunan negeri.





