KUALA LUMPUR: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dilantik secara rasmi sebagai Yang Dipertua baharu Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) menerusi Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-64, di sini, hari ini.
Pelantikan tersebut adalah bagi menggantikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang telah memegang jawatan itu sejak tahun 2006.
Dalam mesyuarat yang sama, Tun Mahathir dilantik sebagai Penasihat Khas PERKIM.
Sehubungan itu, Abang Johari menzahirkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan serta berikrar untuk memikul tanggungjawab tersebut sebaik mungkin.
“Saya mengakui bahawa kepimpinan Tun Mahathir sebelum ini telah membawa PERKIM ke tahap yang membanggakan, menjadi teladan dalam perjuangan dakwah serta kebajikan.
“Untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan ini bukan satu tugas yang mudah, tetapi dengan sokongan padu daripada semua peringkat, saya yakin kita mampu memperkasakan peranan PERKIM dalam landskap dakwah moden,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan balas semasa Upacara Khas Penyerahan Kepimpinan Baharu PERKIM, hari ini.

Menyentuh mengenai cabaran semasa, Abang Johari menyatakan keperluan untuk PERKIM kekal lantang dan aktif dalam memperjuangkan nasib umat Islam, khususnya melibatkan isu global seperti konflik yang berlaku di Gaza.
Tegasnya, PERKIM harus kekal vokal dan aktif dalam menyatakan pendirian serta membela nasib saudara seagama melalui pendekatan berkesan serta berhemah.
Dalam konteks tempatan, Abang Johari menekankan kepentingan pendekatan yang lebih inklusif dan berasaskan kasih sayang, pendidikan serta kesedaran berterusan dalam usaha mendekati masyarakat.
Hadir sama, Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib yang juga Pengerusi PERKIM Bahagian Sarawak dan Naib Yang DIpertua PERKIM Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

