KUCHING: Kepulangan tenaga profesional Sarawak yang berpengalaman di dalam dan luar negara menyuntik kepakaran kepada industri negeri, khususnya sektor berpertumbuhan tinggi seperti petrokimia dan teknologi.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata peluang kerjaya dengan ganjaran dan faedah menarik mendorong tenaga profesional tempatan kembali berkhidmat dalam syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).
“Pembangunan industri semikonduktor, pertanian berteknologi tinggi serta minyak dan gas dijangka menyediakan lebih banyak peluang kepada graduan untuk membina kerjaya di Sarawak tanpa perlu mencari pekerjaan di tempat lain.
“Perkara ini terbukti apabila anak Sarawak yang berpengalaman kembali bekerja dengan GLC kita kerana ganjaran dan faedah yang menarik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Antara tenaga profesional yang diketengahkan ialah Siti Aisyah Mohd Zaman, Pengurus Tadbir Urus dan Pematuhan di Sarawak Petchem, yang sebelum ini terlibat dalam penyepaduan aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam pembiayaan pembangunan pertanian negara.
Beliau turut mengetuai pembangunan program pembiayaan agroteknologi bernilai RM200 juta ketika berkhidmat di Agrobank.
“Seorang lagi ialah Abang Noor Akmal Yahya Abang Rosli, Pengurus Kejuruteraan dan Teknologi di Sarawak Petchem, yang mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam industri petrokimia dan pembuatan bahan kimia di enam negara, termasuk United Kingdom, Belgium, Belanda, Jerman, China dan Malaysia.
“Selain itu, Aldrin Glenn Roland, Jurutera Kanan Peralatan Berputar di Sarawak Petchem, turut kembali ke Sarawak selepas menjalani latihan industri ketika mengikuti pengajian di Jerman dan bekerja dalam sektor pembuatan di Semenanjung Malaysia,” ujarnya.
Abang Johari berkata, kepulangan tenaga profesional itu menunjukkan Sarawak mempunyai keupayaan untuk menarik bakat tempatan pulang dan memanfaatkan pengalaman mereka bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
KAPSYEN:
P: GHAZALI BUJANG


