SINGAPURA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tiba di Singapura semalam bagi memulakan lawatan kerja rasmi selama empat hari sehingga 17 Oktober ini.
Beliau tiba kira-kira pukul 5 petang waktu tempatan dan disambut Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Peguam Besar Negeri Sarawak, Datuk Seri Saferi Ali; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datuk Seri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel; serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee.


Sepanjang lawatan itu, Abang Johari dijadual menyertai beberapa program rasmi termasuk menyampaikan ucaptama pada Sarawak Civil Service (SCS) One Team Retreat (OTR) 2025 hari ini, sebelum menghadiri Majlis Makan Malam Gala SCS OTR di Parkroyal Collection Marina Bay, malam ini.
Keesokan harinya, beliau dijangka merasmikan Sarawak Mega Fair 2025 di Suntec Convention and Exhibition Centre serta melancarkan Program Eksport Sarawak anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED).
Dalam program sama, Premier turut menyaksikan majlis menandatangani beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) selain melancarkan Gerai Pameran Perdagangan dan Pelaburan Sarawak.
Pada sebelah petang, beliau dijadual mengadakan sesi libat urus bersama pengurus dana antarabangsa di UBS.
Lawatan kerja Premier akan diteruskan pada hari Jumaat dengan mengadakan mesyuarat bersama Timbalan Perdana Menteri Singapura, Gan Kim Yong.

