Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju tenaga serantau selepas Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menggariskan agenda rendah karbon negeri serta aspirasi Grid Kuasa ASEAN dalam Mesyuarat Meja Bulat Menteri secara tertutup pada Gastech 2026, hari ini.
Mesyuarat peringkat tinggi yang berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Bangkok (BITEC) itu menghimpunkan kira-kira 30 menteri dan pemimpin kanan sektor tenaga dari seluruh dunia, selain ketua pegawai eksekutif syarikat minyak dan gas terkemuka.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat berkenaan, Abang Johari berkata beliau menekankan peranan strategik Sarawak dalam memajukan Grid Kuasa ASEAN serta komitmen negeri untuk membangunkan tenaga mampan sebagai tindak balas terhadap perubahan iklim.
Katanya, Sarawak akan terus melaksanakan agenda rendah karbon dan penyahkarbonan, di samping memperkukuh usaha menyalurkan tenaga bersih kepada negara-negara jiran ASEAN menerusi kesalinghubungan tenaga serantau.
“Cadangan berkenaan menerima maklum balas yang menggalakkan daripada para peserta, khususnya wakil dari Thailand dan beberapa negara Afrika, sekali gus mencerminkan peningkatan minat antarabangsa terhadap model peralihan tenaga Sarawak,” katanya hari ini.
Tambahnya, beliau menyifatkan mesyuarat meja bulat itu sebagai platform penting untuk bertukar pandangan mengenai masa depan pembangunan tenaga serantau, dengan perbincangan memberi tumpuan kepada usaha mengimbangi aspek keselamatan tenaga, pertumbuhan ekonomi, dan tanggungjawab terhadap iklim.
Abang Johari memaklumkan, pertemuannya dengan penganjur Gastech turut memberikan pandangan berharga mengenai trend tenaga global dan peluang pelaburan yang boleh menyokong hala tuju ekonomi jangka panjang Sarawak.
“Perbincangan berkenaan membantu menyelaraskan aspirasi Sarawak dengan negara-negara rakan ASEAN, khususnya dalam mempercepat kerjasama tenaga rentas sempadan dan memperluas ekosistem tenaga rendah karbon di rantau ini,” ujarnya.
Mesyuarat Meja Bulat Menteri itu merupakan antara sesi tertutup utama Gastech 2026 yang menghimpunkan pembuat dasar dan pemimpin industri bagi membincangkan strategi yang membentuk masa depan pembangunan tenaga global dan ASEAN, khususnya dalam menghadapi peralihan kepada sumber tenaga yang lebih bersih.
Gastech 2026, yang kini memasuki edisi ke-54, merupakan pameran dan persidangan terkemuka dunia berkaitan gas asli, gas asli cecair (LNG), hidrogen, teknologi iklim, serta kecerdasan buatan dalam sektor tenaga.




