KUCHING: Sarawak ingin menyumbang secara aktif dan berdaya saing, khususnya dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, pemeliharaan alam sekitar serta pembangunan sosio-budaya yang inklusif.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan komitmen negeri itu untuk menyumbang kepada pembangunan rantau ASEAN sejajar dengan peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.
“Sarawak sebahagian daripada Malaysia, tetapi kami dipisahkan oleh Laut China Selatan.
“Dengan keluasan lebih 124,000 kilometer persegi dan populasi sekitar tiga juta daripada lebih 30 etnik dan pelbagai agama, keunikan kami terletak pada keharmonian dan dasar inklusif yang diamalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Pembukaan Mesyuarat ke-33 ASEAN Socio-Cultural Community (ASCC) Council di sebuah hotel di sini, hari ini.
Dalam aspek kelestarian, beliau menegaskan bahawa Sarawak merupakan antara negeri yang serius melindungi alam semula jadi termasuk kawasan hutan tropika yang kaya dengan biodiversiti.

“Kami memiliki lebih lima juta hektar hutan simpan kekal yang dilindungi, selain taman negara dan kawasan pemuliharaan.
“Usaha ini bagi memastikan khazanah flora dan fauna kita terus kekal lestari dan menjadi warisan yang boleh dikongsi dengan dunia,” katanya.
Premier turut memaklumkan dua tapak di Sarawak iaitu Taman Negara Mulu dan Gua Niah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
“Kuching juga telah diwartakan sebagai Geopark oleh kerajaan pusat.
“Ini semua adalah sebahagian daripada agenda kita untuk memelihara khazanah semula jadi untuk generasi akan datang,” ujarnya.
Mengulas usaha Sarawak dalam agenda tenaga lestari, beliau berkata Sarawak kini berada di barisan hadapan dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui, termasuk penggunaan tenaga hidro, solar dan hidrogen.
“Kita sudah menggunakan sistem pengangkutan ART yang digerakkan oleh hidrogen dan bakal menyumbang kepada grid tenaga ASEAN.
“Ketika ini, Sarawak membekalkan tenaga ke Indonesia, Sabah, dan sedang dalam perbincangan dengan Brunei serta Singapura,” katanya.
Beliau turut mendedahkan Sarawak mempunyai kapasiti tenaga terpasang sebanyak 7 gigawatt, dengan sasaran untuk meningkatkannya kepada 10 gigawatt menjelang 2030, dan 15 gigawatt dalam jangka panjang.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan para delegasi ASEAN yang hadir untuk melawat muzium baharu Sarawak yang kini menampilkan pendekatan digital interaktif bagi memperkenalkan sejarah dan kebudayaan tempatan secara lebih mendalam.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Digital Malaysia atas pemilihan Kuching sebagai lokasi mesyuarat, dan berharap pertemuan itu dapat memperkukuh integrasi budaya dan ekonomi di peringkat serantau.

