ARTIKEL

Abang Johari melakukan Simbolik Pelancaran Jentera Pilihan Raya GPS di BCCK hari ini. Foto | Ramidi Subari

Abang Johari persoal sumbangan John kepada masyarakat Dayak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mempersoalkan sumbangan bekas Pengerusi Lembaga Pelabuhan Bintulu, John Brian Anthony kepada masyarakat Dayak sepanjang tempoh beliau memegang jawatan berkenaan.

Beliau mendakwa Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) itu tidak memberikan sumbangan kepada masyarakat Dayak ketika memegang jawatan berkenaan, sebaliknya kini memainkan sentimen kaum sebagai modal politik untuk menentang Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 pada 12 Disember ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

John dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Bintulu dari Oktober 2018 hingga Oktober 2020 ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH), semasa beliau masih bersama Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Sehubungan itu, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS menegaskan bahawa kepimpinan bukan sekadar memegang jawatan atau gelaran, sebaliknya perlu disertai kuasa membuat keputusan serta tindakan nyata yang membawa manfaat kepada rakyat.

Kerajaan GPS mengambil langkah dengan mengambil alih Pelabuhan Bintulu bagi memastikan aset strategik itu berada di bawah pengurusan Sarawak demi kepentingan negeri.

Beliau berkata, pengambilalihan itu dilaksanakan berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan pelabuhan di bawah bidang kuasa negeri, sedangkan Pelabuhan Bintulu sebelum ini berada di bawah Kerajaan Persekutuan.

Abang Johari menegaskan kerajaan GPS bukan sekadar bercakap mengenai kepentingan masyarakat Dayak, sebaliknya mengambil tindakan menerusi penguasaan aset strategik dan pelaksanaan dasar pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Menurutnya, kerajaan negeri turut komited memperjuangkan hak tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) melalui usaha pengukuran dan pendaftaran tanah bagi memastikan hak milik serta sempadannya dikenal pasti dengan jelas.

Katanya, langkah itu juga dapat mengelakkan pertikaian tanah dalam kalangan ahli keluarga pada masa hadapan.

Apabila tanah NCR didaftarkan secara rasmi, pemilik mempunyai kepastian terhadap hak masing-masing dan dapat menguruskan tanah berkenaan dengan lebih teratur.

Beliau menambah kerajaan GPS melaksanakan tanggungjawab untuk seluruh rakyat berbilang kaum dengan menjadikan prinsip keterangkuman sebagai teras pentadbiran.

BERITA LAIN

Abang Johari ingatkan rakan politik pelihara setia kawan

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersedia menghadapi sebarang cabaran pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 demi mempertahankan kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan negeri. Pengerusi

BERITA TERBARU

Abang Johari ingatkan rakan politik pelihara setia kawan

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersedia menghadapi sebarang cabaran pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 demi mempertahankan kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan negeri. Pengerusi