SIBU: Masjid Al-Hidayah di Kemuyang bernilai RM20.49 juta kini siap sepenuhnya dan bakal menjadi pusat ibadah, pendidikan serta pembangunan komuniti Islam di kawasan berkenaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembinaan masjid itu mencerminkan komitmen kerajaan mengangkat martabat umat Islam melalui penyediaan infrastruktur keagamaan berkualiti, seiring pembangunan Kemuyang sebagai penempatan baharu.

Katanya, pendekatan itu turut mengambil inspirasi daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW ke Madinah yang dimulakan dengan pembinaan Masjid Quba.
Beliau berkata, pembinaan Masjid Al-Hidayah turut melengkapkan usaha memperkukuh kemudahan keagamaan di Sibu selepas penaiktarafan Masjid An-Nur dan pembesaran masjid di Sibu Jaya.
“Ini saya nak berkongsi di sini bahawa memang kita mengangkat martabat umat Islam melalui bangunan-bangunan masjid. Masjid-masjid yang baharu, kita telah menaik taraf Masjid An-Nur yang kita lihat hari ini, yang menjadi satu lambang Islam di tengah-tengah Bandar Sibu.
“Dan hari ini pula, kita mempunyai satu lagi masjid yang indah di kawasan Kemuyang,” katanya.
Masjid Al-Hidayah dibangunkan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dengan kerjasama Majlis Islam Sarawak (MIS), membabitkan kos kontrak RM20.49 juta di atas tapak seluas kira-kira 6.3 ekar.

Masjid itu mampu menampung sehingga 3,000 jemaah pada satu-satu masa dan dilengkapi 10 komponen utama, termasuk bangunan masjid, empat unit rumah imam, bilik pengurusan jenazah, ruang pelbagai guna muslimah, bilik kelas serta pejabat pengurusan.
Dalam majlis sama, LCDA turut menyampaikan sumbangan Dana Wakalah Zakat berjumlah RM20,000 kepada pihak masjid bagi menyokong aktiviti pengimarahan, keagamaan dan kebajikan masyarakat setempat.
Pembangunan Masjid Al-Hidayah dijangka memperkukuh peranan institusi masjid sebagai pusat ibadah, pendidikan dan kebajikan, sekali gus menyumbang kepada pembentukan komuniti sejahtera di Kemuyang.

