BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) menafikan pengeluaran iklan jawatan kosong tahun 2026 yang kini tular di media sosial dan menegaskan bahawa tawaran pekerjaan berkenaan bukan daripada agensi itu.
Menurut kenyataan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dan Pentadbiran BDA, iklan berkenaan adalah tidak sah dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai atau mengambil sebarang tindakan berdasarkan tawaran tersebut.
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak mengemukakan permohonan atau membuat sebarang pembayaran menerusi iklan berkenaan bagi mengelakkan risiko menjadi mangsa penipuan.
BDA menjelaskan bahawa semua pengumuman rasmi berkaitan kekosongan jawatan di agensi itu hanya disiarkan menerusi laman web dan platform media sosial rasmi BDA.
Sehubungan itu, orang ramai diminta menyemak kesahihan setiap tawaran pekerjaan melalui saluran rasmi sebelum mengemukakan permohonan atau menyerahkan maklumat peribadi.

