SIBU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka, Datuk Dr Annuar Rapaee, berkemungkinan sekali lagi diberi kepercayaan mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, nama Dr Annuar antara yang dipertimbangkan untuk terus bertanding di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan rasmi hanya akan diumumkan pada 25 November ini.
“Ya, kita belum sahkan lagi. Saya akan sahkan pada 25 November kelak. Untuk DUN Nangka, kemungkinan kita akan letakkan Datuk Dr Annuar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Masjid Al-Hidayah, Kemuyang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, penyediaan barisan kepimpinan pelapis, khususnya dalam kalangan generasi muda, merupakan antara usaha berterusan parti bagi memastikan kesinambungan kepimpinan pada masa depan.
Menurutnya, kestabilan politik penting bagi membolehkan Sarawak meneruskan agenda pembangunan secara berterusan.

