ARTIKEL

Abang Johari beramah mesra dengan pengunjung dan peniaga yang hadir di Pasar Sentral Sibu.

Abang Johari Santuni Peniaga, Pengunjung Pasar Sentral Sibu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Mi kampua dan tumpik, dua hidangan yang cukup sinonim dengan Sibu menjadi pilihan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika meluangkan masa bersarapan di Pasar Sentral Sibu sambil beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung, pagi tadi.

Kunjungan itu dilakukan sejurus beliau menyertai program ‘brisk walk’ di Rizab Alam Semula Jadi Bukit Lima, sekali gus meneruskan pengisian lawatan kerja di Bahagian Sibu dalam suasana santai bersama-sama masyarakat.

Kehadiran Premier menarik perhatian orang ramai apabila pengunjung dan peniaga tidak melepaskan peluang untuk bersalaman, bertanya khabar serta merakamkan gambar kenangan bersama beliau.

Dalam suasana yang mesra, Abang Johari menikmati sarapan sambil berbual dengan pengunjung dan peniaga berkaitan kehidupan seharian serta perkembangan perniagaan di Pasar Sentral Sibu.

Beliau turut meluangkan masa berjalan di sekitar pasar bagi meninjau operasi harian serta menyaksikan sendiri aktiviti jual beli yang menjadi nadi ekonomi komuniti setempat.

Abang Johari kemudian singgah di beberapa gerai untuk membeli barangan daripada peniaga sebagai tanda sokongan dengan perusahaan tempatan serta usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi komuniti dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana di Sarawak.

Kunjungan ringkas itu bukan sahaja menceriakan suasana di Pasar Sentral Sibu, malah memberi peluang kepada masyarakat berinteraksi secara lebih dekat dengan Premier dalam suasana yang tidak formal.

Lawatan tersebut turut mencerminkan pendekatan kerajaan negeri yang sentiasa mendekati rakyat serta menghargai sumbangan para peniaga dalam menggerakkan ekonomi tempatan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU