Pejabat Premier Sarawak
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyertai Pertandingan Menembak Gabungan Parti Sarawak (GPS) Backbenchers 2026 yang berlangsung di Lapang Sasar Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Batu Kawa di sini.
Kehadiran Abang Johari pada petang semalam menyerikan lagi pertandingan yang dianjurkan sebagai platform mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat kerjasama dalam kalangan wakil rakyat serta ahli politik di negeri ini.
Turut mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut ialah beberapa ADUN dan Setiausaha Politik yang mewakili pelbagai kawasan di seluruh Sarawak.
Hantaran di Facebook Sarawakku memaklumkan, acara berkenaan berlangsung dalam suasana santai, namun kompetitif dengan para peserta menunjukkan kemahiran serta ketepatan dalam acara menembak yang dipertandingkan.
Menurutnya, selain menjadi aktiviti riadah, pertandingan tersebut juga dilihat mampu memupuk disiplin, fokus serta semangat kesukanan dalam kalangan peserta.

Dalam pada itu, Abang Johari sempat meluangkan masa beramah mesra dengan peserta dan para jemputan yang hadir selain menyaksikan beberapa sesi pertandingan.
Penganjuran program seperti ini diharap dapat terus memperkukuh hubungan ukhuwah dan kerjasama antara pemimpin kerajaan serta wakil rakyat demi memastikan perpaduan berterusan.

